Sabtu, Jun 19, 2010
3 beradik hamba seks
2010/06/18
KOTA KINABALU: Tiga beradik bawah umur warga Filipina yang terpedaya dengan janji manis sindiket pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan daripada terus menjadi hamba kepada ibu dan bapa ayam yang mendalangi aktiviti pelacuran di negeri ini.
Mangsa yang berusia 13, 15 dan 16 tahun diselamatkan hasil beberapa serbuan dilakukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ke atas premis pelacuran di Tawau, kelmarin.
Episod malang tiga beradik terbabit bermula apabila kedatangan mereka ke Malaysia untuk mencari rezeki halal tidak kesampaian selepas terjerat dalam perangkap ibu ayam sebelum dipaksa menjadi pelacur sepenuh masa.
Helah ibu ayam yang licik dengan menjadikan rumah kedai untuk menyembunyikan kegiatan pelacuran terbongkar hasil maklumat awam dan intipan dijalankan polis sejak beberapa bulan lalu.
Malah, lebih mengejutkan apabila dalam tiga serbuan itu, polis turut menyelamat 23 lagi gadis warga Filipina yang juga dipercayai menjadi mangsa sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
Serbuan diketuai Pegawai Turus Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) IPK Sabah, Deputi Superintendan Taufik Mydin selepas melakukan beberapa intipan membabitkan tiga lokasi berbeza, dipercayai menjadi markas pusat pelacuran beroperasi.
Taufik berkata, serbuan pertama pada kira-kira jam 6 petang kelmarin di sebuah rumah kedai di Tawau itu, polis berjaya menyelamatkan seorang gadis berusia 13 tahun yang berasal dari Filipina.
“Gadis berusia 13 tahun ini dipercayai dibawa masuk dari Filipina ke daerah ini sejak dua bulan lalu selepas diperdaya sindiket pelacuran.
“Sebaik diselamatkan dan menahan seorang lelaki dipercayai bapa ayam, polis mengesan dua lagi gadis bawah umur, difahamkan kakak kepada mangsa,” katanya.
Katanya, dua mangsa yang berusia 15 dan 16 tahun itu berjaya dikesan dan diselamatkan di dua premis berasingan di sekitar bandar itu.
“Hasil maklumat daripada dua mangsa terbabit turut membawa kepada penemuan 23 lagi wanita rakyat Filipina yang dikurung dan dipaksa menjadi pekerja seks di sebuah premis berasingan.
“Seramai lapan ahli sindiket terbabit termasuk empat wanita ditahan reman sehingga 22 Jun ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Taufik meminta orang ramai yang mengetahui kegiatan berkenaan supaya segera melaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Semua gadis yang diselamatkan itu kini ditempatkan di rumah perlindungan sementara dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 13 dan 14 Akta Anti Pemerdagangan Manusia 2007.
Katanya, semua wanita yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen dan ada di kalangan mereka dipercayai dikurung serta dipaksa menjadi hamba seks sejak setahun lalu.
“Kami mendapati mereka dikawal rapi anggota sindiket yang juga dipercayai bapa dan ibu ayam. Modus operandi mereka lazimnya menerima tempahan menerusi telefon sebelum gadis terbabit dihantar kepada pelanggan,” katanya.
hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...