Isnin, Jun 28, 2010

Anwar Pertahan Khalid, Nafi Wujud Pakatan Kudeta



Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

SHAH ALAM: Penasihat Parti Keadilan (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mempertahankan kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai sekaligus menyangkal dakwaan wujudnya pakatan 15 Ahli Parlimen yang mahu menggulingkan menteri besar itu.

Malah beliau turut memuji kekuatan pentadbiran Abdul Khalid yang memperlihatkan ketinggian integriti dan ketelusan.

"Kalau tanya saya apakah kekuatan kerajaan Pakatan Rakyat di bawah Tan Sri Abdul Khalid... kekuatannya ialah beliau dapat mempertahankan integriti, bersih, bertanggungjawab dan mengamalkan ketelusan.

"Prinsip ini yang tak dapat dipertahankan oleh pimpinan Umno dan BN (Barisan Nasional) di bawah pimpinan menteri besar terdahulu yang mempunyai kepentingan peribadi," katanya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR di sini malam, semalam.

Sebelum ini terdapat dakwaan yang mengatakan terdapat komplot mendesak supaya Abdul Khalid melepaskan jawatannya sebagai menteri besar kerana didakwa gagal mentadbir negeri dengan baik.

Kelmarin, Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut mengakui pernah menegur kepincangan pentadbiran Abdul Khalid dan barisan ahli exconya yang didakwa gagal melakukan perubahan terutamanya berkaitan hal ekonomi di negeri itu.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang bagaimanapun menafikan wujudnya gerakan untuk menggulingkan Abdul Khalid seperti yang dilaporkan media.

"Isu kalau kata ada pakatan gulingkan (Abdul Khalid) tak bangkit sama sekali, pimpinan parti seperti Ahli Parlimen, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) sebulat suara memberikan sokongan dan keyakinan penuh kepada kepimpinan Tan Sri Khalid sebagai menteri besar," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui wujudnya beberapa teguran di semua peringkat yang disifatkan baik untuk parti dan kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat terutamanya di Selangor.

"Soal kalau ada pandangan itu biasa, sebagai parti yang demokratik ada baiknya, kita dengar input dari pelbagai ahli... Tan Sri Khalid pun tak sensitif (cepat melatah) sangat," katanya.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini turut mengumumkan pelepasan jawatan Abdul Khalid sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor berkuat-kuasa serta merta.

Jawatan berkenaan diambil alih oleh Naib Presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.

mstar


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...