Zulkifli Yahaya
Lenyap isu empat ADUN Pakatan Rakyat lompat parti di Kedah, muncul pula satu isu baru kononnya seorang ADUN Barisan Nasional pula akan melompat ke dalam PAS. Tiupan khabar sensasi itu laju juga dibawa angin. Sekalipun ia khabar angin, setiap yang mendengarnya akan tertanya-tanya. Ia tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja. Maknanya, suasana politik pasca Tsunami hari ini, sukar lagi untuk menidakkan andaian politik yang dulunya dianggap karut dan merapu.
ADUN yang dimaksudkan itu ialah Syed Sobri Syed Hashim, memenangi kerusi Kuala Nerang dalam pilihanraya umum lalu mengalahkan Ustaz Zawawi Ahmad dari PAS dengan majoriti 805 undi.
Sebelum menceburi politik sepenuh masa, Syed Sobri adalah tokoh korporat. Mungkin kerana ‘kehebatannya’ maka beliau dilantik sebagai CEO Syarikat Seri Temin Development Corporation (STDC) yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
Dalam pilihanraya umum 2008 Syed Sobri boleh dianggap sebagai calon BN yang ‘terlepas pandang’ oleh kepimpinan tertinggi parti itu. Sebaik diisytiharkan calon, beliau ditelanjangkan habis-habisan oleh pihak dalam partinya sendiri. Pelbagai isu, termasuk skandal peribadi didedahkan. Semua itu bukan kerja orang PAS kerana rakan-rakan yang pernah rapat dengannya sahaja yang tahu semua rahsia tersebut. Jika PAS ada maklumat begitu pun, bukan caranya sebuah parti Islam mengaibkan musuhnya begitu teruk. Umno adalah musuh tradisi PAS, namun PAS tetap berpegang kepada amalan Islam berakhlak sekalipun dalam peperangan. Semua yang berlaku itu adalah catatan awal yang mungkin membawa Syed Sobri terasa hati dengan pihak tertentu dalam Umno sendiri.
Ditakdirkan Syed Sobrie menang juga. Beberapa bulan selepas bergelar ‘YB’ dia menerima penangan pertama dari mahkamah apabila diisytiharkan muflis. Baru terbongkar rupanya beliau menghadapi masalah kewangan yang rumit. Pengisytiharan muflis itu untuk satu kes, sedangkan banyak lagi kes lain yang menunggu.
BN tidak sanggup menghadapi pilihanraya ketika mereka menghadapi kekalahan demi kekalahan dalam pilihanraya kecil. Najib mengarahkan sebanyak mana pun hutang ADUN Kuala Nerang itu, ia mesti dilunaskan. Walaupun Speaker DUN Kedah, Dato’ Dr. Isa Ismail telah menghantar notis kehilangan kelayakan sebagai ADUN akibat muflis kepada SPR, namun notis itu tidak terpakai apabila hutang Syed Sobri sebanyak RM150 ribu diselesaikan segera oleh pihak Najib.
Di kalangan musuh politik beliau dalam parti tidak senang dengan keistimewaan yang diberikan kepadanya. “Untung jadi YB, hutang banyak mana pun PM lunaskan..” kata-kata sindiran itu terpancul dari mulut pemimpin-pemimpin Umno yang tidak puas hati.
Masalah besar bagi Syed Sobri ialah kes-kes mahkamah lain yang sedang menunggu untuk dia dimufliskan. Khabarnya hampir RM11 juta. Sanggupkah Najib menanggung biawak hidup hanya untuk selamatkan maruah BN dari lenyap satu lagi kerusi selepas Kota Siputeh?
Di kalangan pemimpin Umno yang lain di Kedah sudah mula merungut, “Kami pun banyak hutang awat Najib tak tolong?” Syed Sobri sebenarnya yang lebih tertekan dengan suara sinis seperti itu.
BN mempunyai pilihan untuk melewat-lewatkan kes mahkamah terhadap Syed Sobrie. Sehingga selepas tiga tahun PRU ke 12, kes tersebut boleh dibicarakan di mahkamah dan beliau dimufliskan. BN tidak bantu lagi kali ini dan mereka hilang satu kerusi. Sekalipun hilang namun tiada pilihanraya kecil. RM11 juta duit yang diguna untuk membantu Syed Sobri boleh diagihkan kepada 15 bahagian Umno di Kedah. Besar nilainya sebagai modal untuk menentang PAS dalam usaha merampas Kedah.
Cara tersebut tetap menjatuhkan maruah BN kerana mereka hilang kerusi. Maka cara terbaiknya ialah Najib (dengan kuasa yang ada) melambat-lambatkan lagi kes mahkamah tersebut sehingga selepas PRU ke 13.
Sama ada cara pertama atau kedua, Syed Sobri terpaksa menanggung akibatnya bersendirian. Dia akan diiystiharkan muflis. Sekarang pun kerjaya politik beliau nampak sudah di penghujung. Orang bermasalah sepertinya tidak mungkin diberi peluang menjadi calon untuk PRU ke 13 nanti. Dia akan senasib dengan Dato’ Abu Hasan Sarif di Kota Siputeh.
Dalam satu perkembangan yang lain Syed Sobri dilihat jinak dengan PAS. Dia dilaporkan bertemu secara sulit dengan pemimpin PAS. Beliau adalah satu-satu ADUN BN yang menyambut kedatangan Menteri Besar yang berkunjung ke daerah. Dia pernah dilihat bersolat jamaah berdua dengan Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nasir Zakaria. Ustaz Nasir imam, dia makmun. Semua itu menjadi buah mulut rakyat Kedah.
Apabila tersebar khabar angin bahawa Syed Sobri akan masuk PAS ia menyempurnakan jalan cerita yang telah dimulakan. Dengan latarbelakang masalah peribadi yang dilaluinya, ramai yang lebih percaya bahawa ia cuma perang saraf atau ugutan untuk menakutkan Najib, berbanding keikhlasannya (jika) menyertai PAS.
“Saya tidak menolak kemungkinan tindakan mengejut Syed Sobri adalah satu gimik untuk memeras ugut kepimpinan Umno negeri untuk memenuhi permintaan dan hasrat peribadi beliau semata-mata,” kata Dato’ Rozai Shafian selaku Setiausaha BN Negeri Kedah. Pandangan Rozai diterima ramai, tetapi ditempelak habis-habisan oleh Syed Sobrie sambil mendedahkan segala kelemahan Rozai dalam memimpin Umno dan BN. Ia menimbulkan babak pertelagahan yang baru dalam Umno.
Episod kehilangan kerusi DUN Kota Siputeh belum berakhir. Jika berlaku pilihanraya kecil BN belum tentu menang. Kerusi DUN Gurun masih di awangan apabila ADUNnya, Dr. Leong Yong Kong mengisytiharkan bercuti dari politik MCA. Ia gara-gara kecewa dengan kemelut politik parti itu akhir-akhir ini.
Dalam ura-ura kononnya akan berlaku lompat katak ADUN KeADILan dan DAP, terdapat perancangan untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar. Dr. Leong menegaskan lebih awal kepada pihak Menteri Besar bahawa dia sekali-kali tidak akan menyokong usul tersebut. Sikap itu tidak menyenangkan BN, sekalipun beliau tidak lompat parti.
BN merancang untuk menggugat kerajaan Pakatan Kedah melalui isu lompat parti, pembubaran DUN ataupun kerajaan katak. Namun yang pasti kini tiga buah kerusi mereka pula yang tergugat; Kota Siputeh, Gurun dan Kuala Nerang. Benarlah maksud firman Allah, “Manusia merancang, Allah juga merancang…”
harakahdaily
Share
INI DUNIA GERTAK KAH KAH
BalasPadamIDRIS JALA GERTAK RAKYAT M'SIA AKAN BANKRAP SEBAB NAK TARIK SUBSIDI.
UMNO GERTAK RAKYAT 13 MEI AKAN BERULANG JIKA MELAYU TOLAK UMNO.
NAJIB GERTAK ORG FELDA SG BUAYA B/DRAFT TAK ADA DUIT JIKA BN KALAH DLM PRK ULU SELANGOR.
NGO GERTAK JUGA TAK JADI BUAT PERHIMPUNAN PADA 13 MEI BILA MCA GERTAK MEREKA..