TANAH LOT – “Sembilan hari berada di penjara sudah cukup memberi pengajaran pada saya untuk tidak lagi mengulangi perbuatan ini,” itulah rayuan seorang wanita warga negara Thailand kepada Hakim Syarie agar mengurangkan hukuman bakal dikenakan atas kesalahan khalwat dilakukannya bersama lelaki warga Bangladesh.
Tertuduh, Miss Yamattana Angkhanwan, 33, ketika membuat pengakuan dalam satu prosiding perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Dungun pagi kelmarin turut merayu Hakim tidak mengenakan hukuman penjara ke atasnya kerana dia sudah menginsafi perbuatannya setelah sembilan hari berada dalam Penjara Pengkalan Chepa kerana gagal membayar wang jaminan berjumlah RM2,000.
“Saya juga mohon tidak dipenjarakan kerana salah seorang anak saya kini sakit dan memerlukan perhatian.
“Malah, saya juga insaf atas perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” rayu ibu kepada empat anak itu kepada mahkamah.
Sementara itu, pasangannya, Md Jamal, 32, warga Bangladesh yang sudah empat tahun menetap di negara ini ketika dibacakan pertuduhan ke atasnya faham dengan fakta kes dan membuat pengakuan bersalah.
Walaupun kurang fasih berbahasa Melayu, namun tertuduh, seorang buruh yang ditangkap khalwat bersama pasangannya yang difahamkan masih berstatus isteri orang itu turut mengakui kesilapan dilakukan.
Setelah menimbang rayuan kedua-dua tertuduh, Hakim Syarie akhirnya membebaskan pasangan terbabit.
“Saya harap tempoh sembilan hari semasa ditahan di penjara adalah satu hukuman yang boleh menginsafkan diri kamu agar tidak mengulangi perbuatan ini, dengan ini mahkamah memberi amaran kepada kamu,” katanya.
Mengikut fakta kes yang dibacakan ke atas tertuduh, bertindak atas maklumat, pada 14 Jun 2010, pengadu bersama polis mengadakan serbuan ke sebuah rumah bernombor 168, Jalan Panglima Tanah Lot kira-kira jam 2.25 pagi.
Ketika sampai, semua pintu rumah dan tingkap dalam keadaan tertutup rapat. Sebaik pintu diketuk, ia dibuka seorang perempuan.
Pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki dan hasil soal siasat mendapati mereka tiada mempunyai hubungan muhrim yang sah.
Mereka disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...