Khamis, Jun 03, 2010
'Merangkak di kawasan berlumuran darah'
Jun 2, 10
Wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail nyaris terkena tembakan komando Israel yang menyerang kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Mavi Marmara, pagi Isnin lalu.
Menceritakan insiden itu melalui telefon setelah dihubungi bilik beritanya di Kuala Lumpur, selepas dibebaskan tentera Israel pagi tadi, Ashwad berkata aktivis Turki di kiri dan kanannya terkena tembakan komando Israel ketika serangan itu.
Katanya, tentera Israel mula mengepung kapal misi mereka pada jam 11 malam dan menghampiri kapal mereka pada jam 2 pagi sebelum menyerang pada jam 4.30 pagi dengan sokongan bot dan kapal perang serta helikopter penggempur Apache.
"Kami diserang bertubi-tubi dan Alhamdulillah saya dan jurukamera, Shamsul (Kamal Abdul Latip), terselamat daripada tembakan di mana peluru hidup digunakan.
"Dua orang Turki di sebelah kiri dan kanan saya ditembak di bahagian tangan dan juga di bahagian bahu. Tapi saya sempat menyelamatkan diri dan merangkak turun dari dek kapal melarikan diri ke kawasan yang lebih selamat di dalamnya.
"Saya merangkak di kawasan yang berlumuran darah dan ternyata pengalaman yang memeritkan untuk kita imbas kembali tetapi jika diperhatikan kami berjaya membuka mata dunia tentang apa yang berlaku.
"Saya tidak menjangkakan bahawasanya Israel boleh bertindak sedemikian kerana kami orang awam di dalam kapal tetapi tindakan ketenteraan yang dilakukan. Ini satu isytihar perang atas kemanusiaan," katanya dalam lintas langsung dari sempadan Jordan semasa berita Awani tengah hari ini.
Ashwad dan Shamsul adalah antara 12 sukarelawan negara yang ditawan bersama ratusan sukarelawan antarabangsa oleh tentera Israel kelmarin selepas kapal mereka diserang.
Sambil menyatakan kesyukuran dan penghargaan kepada semua pihak, khususnya kerajaan Malaysia, yang berusaha membebaskan mereka, Ashwad berkata pengalaman 28 jam ditahan tentera rejim Zionis itu amat memeritkan.
Katanya, keperitan yang dialami dalam tempoh singkat itu sudah cukup untuk beliau menyelami kesengsaraan yang ditanggung rakyat Palestin akibat kezaliman rejim Zionis selama enam dekad konflik Palestin-Israel itu.
"Apa yang saya dapat simpulkan, 28 jam itu saya boleh rasakan pengalaman konflik enam dekad Israel-Palestin, kesengsaraan Palestin di bawah kekejaman rejim Zionis dalam masa 28 jam dan ternyata tidak dapat digalas dengan segala apa yang ada pada kita," katanya.
Ditanya bagaimana layanan tentera Israel terhadap mereka, Ashwad enggan menjawabnya dan hanya mahu seluruh penonton memahami kezaliman rejim Zionis itu terhadap rakyat Palestin selama enam dekad.
"Seperti yang saya katakan tadi, mesej saya ringkas, saya merasakan konflik enam dekad Palestin-Israel bagaimana Palestin ditindas tetapi saya merasakan dalam tempoh 24 hingga 28 jam.
"Saya harap penonton semua termasuk Zaiful dan ibu bapa saya sudah mendapat mesej itu, Tak perlu saya huraikan jenis apa yang telah dilakukan ke atas saya," katanya.
malaysiakini
Share
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...