Oleh Frederick Luccas
SHAH ALAM 21 Jun - Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan kerajaan Umno-Barisan Nasional telah membentangkan terlalu banyak 'blueprint' model ekonomi dan pembangunan negara sehingga kerajaan sendiri terkeliru dan binggung bagaimana mahu menggerakkan kesemua pelan tersebut.
Dr Dzulkefly berkata beliau telah menulis satu surat terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mengingatkan beliau supaya kerajaan memikirkan semula kesemua pelan tersebut dan membuat keputusan yang sewajar jika mahu kesemuanya berjalan lancar.
"Banyak sangat 'flip-flop' Najib dalam hal ini, terutamanya dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dan ini bukan kali pertama kerana kita dapat melihat karakter 'flip-flop' Najib semasa pembentangan apa juga pelan dan semuanya hanya manis untuk didengar, tetapi perlaksanaannya bagaimana?" kata Dr Dzulkefly kepada Suara Keadilan.
Beliau menambah sejak RMK-9 dibentangkan sudah banyak pelan perancangan ekonomi dibentangkan seperti KPI (Indeks Prestasi utama) untuk mengukur enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA), cadangan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), penstrukturan semula subsidi, pengenalan Model Ekonomi Baru (MEB), dan yang terkini Rancangan Malaysia Ke-10.
"Dalam kesemua ini, kerajaan Umno-BN tertinggal satu rancangan yang cukup penting, dan saya rasa aneh dan hairan juga ia tidak disebut, Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) tidak menyebutnya semasa pelan pelbagai koridor dulu, Najib pun tidak menyebut mengenainya semasa pembentangan RMK-10.
"Kerajaan Umno-BN telah melupakan Rancangan Jangka Panjang 3 (OPP3) yang patutnya tamat pada 2010 dan digantikan dengan OPP4. OPP merupakan pelan penstrukturan ekonomi setiap 10 tahun, yang mana merangkumi Rancngan Malaysia di dalamnya, dan bagaimana OPP boleh dilupakan?
"Inilah akibatnya jika membentangkan terlalu banyak pelan hinggakan mengelirukan bukan sahaja para pegawai kerajaan, malahan pemimpin Umno-BN turut dikelirukan atau mungkin mereka langsung tidak tahu wujudnya OPP ini," jelas Pengerusi Lajnah Seni dan Budaya PAS itu.
Tambah beliau lagi, walau sebanyak manapun pelan dikemukakan oleh kerajaan tetapi tiada gunanya jika manfaat daripada pelan ekonomi ini tidak dapat dinikmati oleh rakyat jelata.
"Apa yang diutamakan oleh kita di Pakatan Rakyat ialah samada kualiti hidup rakyat akan bertambah baik, samada rakyat dapat mengecapi kesejahteraan dan kemakmuran pada ahkirnya. Adakah pada akhirnya kerajaan Umno-BN akan mengizinkan rakyat mengecapi manfaat ini dan bukan hanya untuk kroni atau pihak tertentu yang berkepentingan sahaja.
"Seperti yang telah saya katakan dahulu, kita tidak mahu RMK-10 gagal kerana kita tidak mahu negara ini bankrap, kerana apabila kita mengambil alih negara ini nanti, kita tidak mahu mengambil alih negara yang bankrap," kata Dr Dzulkefly.
Ditanyakan berkenaan 'approval rating' Najib yang naik daripada 69 peratus kepada 72 peratus, beliau mengingatkan Najib supaya tidak dibuai oleh pujian.
"Najib perlu ingat, bekas Perdana Meteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mendapat penilaian daripada Merdeka Centre sebanyak 92% tapi akhirnya, apa yang terjadi adalah sebaliknya," katanya lagi.
SK
Salam ...
BalasPadamMohon dengan izin empunya blog.
Jom bawa berbincang di: Forum Politik Melayu
Terima kasih.