Selasa, Jun 15, 2010

Negara Kita Mudah Menganugerah Dan Juga Menyerah

Oleh Mohd Sayuti Omar


SESIAPA yang gilakan kepada anugerah, pangkat dan penghormatan datanglah ke negara ini. Begitu juga sesiapa yang mahukan sesuatu yang tidak mungkin diperolehi di negara lain datanglah ke negara ini.

Masyarakat negara ini sangat baik hati dan mudah menerima budi dan juga memberi budi kepada sesiapa saja. Kerajaan juga begitu. Apakah sikap ini berlaku kerana demikian pembawaan sikap dan fiil orang Melayu? Mudah memberi dan mudah berterima kasih walaupun atas sesuatu perkara yang remeh saja.


Ia juga mungkin ada kaitan dengan nilai-nilai ketimuran yang menjadi amalan masyarakat (khasnya Melayu) negara ini.

Tengok saja apa yang berlaku di sekeliling kita. Boleh dikatakan setiap hari ada-ada saja pihak menganugerahkan pingat, gelaran dan sebagainya kepada seseorang sebagai menandakan ketinggian budi penghormatan kepada sesiapa saja.

Kadang kala kerana terlalu murah itu menjadikan anugerah itu tidak ada nilai atau pun nilainya tidak setimpal dengan pengorbanan yang dilakukan seseorang.

Perhatikan sahaja, bagaimana menjelang hari lahir raja atau sultan, berpuluh orang dinobatkan sebagai penerima anugerah membawa gelaran datuk. Mereka yang dianugerhakan gelaran itu kadang-kadang tidak tahu apakah jasa dan pengorbanannya. Apakah pengorbanan kepada raja atau sultan bukannya kepada negara dan orang ramai? Ada juga yang diberi anugerah semasa dalam perut lagi!

Keadaan ini sehingga menjadikan lambakan datuk. Kalau kita masuk ke pasar dan kebetulan berjumpa dengan seorang bergelar datuk yang menemani isteri mudanya membeli asam, masa menyapanya, "Datuk..." akan berpuluh muka akan berpaling ke arah kita. Semua yang berpaling itu adalah datuk. Ini menunjukkan si datuk ini ada di mana-mana saja.

Anugerah datuk itu adalah anugerah terbesar dan hebat dan menjadikan seseorang berpresij. Anugerah dan gelaran-gelaran lain usahlah peduli lagi. Penganugerahan dan penobatannya berlaku setiap lima minit sekali. Semalam bekas PM, Abdullah Badawi telah mengalungkan selimpang 1 Malaysia kepada tiga orang tokoh di Kepala Batas. Saya lihat betapa hapraknya Abdullah dalam hal ini kerana beliau mengalungkan selimpang 1 Malaysia bukannya selendang Islam Hadhari. Patutlah baru orang gertak dia sudah berundur jadi PM.

Itu 12 orang sukarelawan yang menyertai flotilla kemanusiaan ke Gaza, telah dianugerahkan sebagai Wira Gaza oleh pihak tertentu. Tiap mereka dinobatkan sebagai Wira Gaza di atas pemergian mereka yang tidak kesampaian itu.

Semalam di Perak, kawan saya, Shamsul Akmal Musa Kamal yang ikut sama dalam misi itu dan berada di atas kapal Rachel Corrie disambut sebagai wira Gaza. Satu majlis menyambut kepulangan beliau ke kampug asalnya diadakan. Beliau dipakaikan tengkolok sebagai simbol kewiraannya. Bagi orang Melayu kalau pakai tengkolok itu kira beranilah. (Walhal si kitol, Patih Karmawijaya dan si antogonis lain juga pakai tengkolok). Sebab itu dalam majlis-majlis berunsur Melayu hostnya dikenakan tengkolol walaupun setengahnya perangai lebih teruk dari Yahudi.

Saya bukan dengki dalam hal ini. Anugerahlah dan berilah sejuta gelaran kepada mereka tidak mengapa. Jangan bagi duit sudahlah. Nik Abdul Aziz Nik Mat pun semalam semasa menggulung perbahasan di Muktamar Pas menyarankan supaya kita memanggil orang dengan panggil yang lunak dan baik. Itu Islam suruh.

Tetapi dalam bak memberi anugerah dan menyanjung tinggi kepada sukarelawan itu dikira kurang wajar. Apalah sangat perjuangan 12 orang yang membawa bantuan misi kemanusiaan ke Gaza itu. Apakah ciri-ciri kewiraan mereka yang boleh kita kagum dan bangga-banggakan. Apakah mereka pergi untuk berperang dengan Israel? Pemergian mereka itu adalah perkara biasa yang dilakukan oleh pejuang hak asasi dan NGO kemanusiaan di mana-mana saja.

Kejadian penawanan kapal Mirmara dan Rachel Corrie yang mereka naiki itu kebetulan saja. Mereka tidak pun fikir yang mereka akan dikepong dan ditawan oleh komando Isreal laknatullah itu. Mereka ditahan kerana dianggap mencerohi perairan Israel. Itu saja. Mereka pergi sebagai sukarelawan yang tidak sesiapa menyuruhnya. Saya yakin kalau mereka tahu yang mereka akan dikepong dan nyawa terancam mereka tidak akan pergi! Semasa pemergian mereka dulu tidak dihantar sebagai wira perang oleh rakyat negara ini pun.

Sudahlah begitu, flotilla kemanusiaan yang mereka hendak sampaikan tidak kesampaian pun. Rakyat Gaza tidak pun menerima sebutir beras dan sebiji penadol yang mereka layarkan. Entah ke mana peralatan, makanan, perubatan dan sebagai yang mereka bawa itu. Jadi adalah anih kalau mereka dinobat dan diarak, diusung bagaikan si bocah nak disunatkan sebagai wira Gaza hanya kerana mereka disekat oleh Israel.

Kerana itu penobatan mereka sebagai wira Gaza, memakai tengkolok dan entah apa-apa itu sudah berlebih-lebihan dan tidak sepatutnya. Kita merainkan sesuatu yang tidak menepati keadaanya. Justeru ia lebih kepada gimik saja. Televisyen pula sama siap buat telecast dan kepulangan mereka disambut bekas Perdan Menteri (yang suka mencari publisiti) dan juga Timbalan Perdana Menteri. Tidak cukup itu mereka dipanggil menjadi panel di tv dan radio.

Jika dibandingkan dengan kepulangan para pendaki gunung Everest dulu, jauh para pendaki itu lebih tepat untuk digelarkan sebagai wira. Mereka berjaya mendaki gunung sambil mencatat sejarah buat negara ini. Tetapi kepulangan mereka tidaklah disambut demikian rupa dan mereka tidak pun digelar sebagai raja gunung dan sebagainya. Walhal usaha mereka meletakkan negara di peta dunia itu juga satu usaha mencabar maut. Sayangnya rakyat dan kerajaan tidak begitu nampak akan kelebihan dilakukan pendaki ini berbanding misi kemanusiaan itu.

Makanya saya melihat ada muslihat politik disebalik raian berlebihan kepulangan sukarelwan yang tewas itu. Ada semacam usaha Umno hendak menunjukkan yang mereka bersimpati dengan Palestin. Benarkah begitu? Ia boleh dipersoalkan. Kalau benar Umno bersimpati dengan nasib Palestin mereka harus melakukan tindakan ke atas Israel termasuk menggunakan kuasa menerusi kerajaan bagi menindasnya bukan sekadar turut merayakan sukarelwan yang gagal menyampai misi bantuan itu. Tindakan utama dan pertama sekali ialah membatal kontrak bernilai RM77 juta dengan Apco syarikat yang ada kepentingan Zionis itu dan membekukan segala misi dagangan dengan Israel.

Iya saya benar confius apa yang dilakukan itu sama ada menepati keadaan atau pun sebaliknya. Betapa tidak sukarelwan itu pergi bersendirian, gagal menyampaikan bantuan tetapi kita menerimanya sebagai wira pula. Kalaulah begitu setiap apa saja misi yang gagal dilakukan rakyat negara ini boleh dianggap wira.

Membandingkan tugas sukarelwan itu dengan beberapa orang rakyat Malaysia yang ikut berperang melawan Amerika sebagai Mujhidin di Afghanistan satu masa lalu rasanya mereka lebih wajar dianggap sebagai wira bangsa kerana setengah mereka ada yang terbunuh kerana mempertahankan Islam di Afghanistan dari ganyangan Amerika dan Zionis. Malang sebaliknya mereka yang ke Afghan itu bila balik dikurung di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Makanya duhai rakyat Malaysia nilailah sesuatu apa yang hendak kamu lakukan jangan meletakkan raja plastik atas singgahsana dan berbuat sesuatu yang hakiki dan bukannya yang munafik!

detikdaily


Share

1 ulasan:

  1. biaq pi la..apa da hal...jgn ckp lebey la..hang x rs camana depa rs..jgn duk nk bangkang ja..kalu dh depa nk bg anugerah tu hang terima la..kata x dengki..tp yang hang duk melalut crita benda yg hang xdak..tu bukan dengki?..mcm mana la ISLAM nk maju kalu duk asik simpan prasaan hasad dengki..nk bg anugerah kt org pun hang dengki..adoi...

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...