Selasa, Jun 15, 2010

Pegawai kemaruk seks


MELAKA - Tindakan seorang pegawai Jabatan Imigresen yang dikatakan kemaruk seks, membuatkan seorang wanita warga Filipina takut mahu kembali semula ke negara ini walaupun dia dijadualkan melangsungkan perkahwinannya di sini.

Akibat tertekan dengan apa yang dilaluinya bulan lalu, Rizalina, 22, membuat laporan polis di Balai Polis Batu Berendam pada 11 Jun lalu selepas dia dijemput kembali ke Malaysia oleh bakal suaminya, Choong, 46.

Rizalina meninggalkan Malaysia pada 15 Mei lalu selepas dibebaskan daripada tahanan hampir 10 hari di pejabat Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.

Rizalina mendakwa, seorang pegawai yang bertugas di kaunter Imigresen sengaja melengahkan proses sehingga terlepas penerbangan dan terpaksa membeli tiket untuk penerbangan lain keesokan harinya.

“Bagaimanapun, apabila kami tiba untuk menaiki pesawat berkenaan, saya ditahan di kaunter Imigresen kerana cop pada pasport saya didakwa palsu,” katanya kepada :Sinar Harian: ketika ditemui di ibu pejabat DAP Melaka, di sini, semalam.

Terdahulu, Rizalina dan Choong membawa kes itu untuk perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bachang, Lim Jak Wong.

Rizalina mendakwa, insiden cabul berlaku ketika dia meminta kebenaran seorang pegawai bertugas untuk menggunakan telefon bagi memaklumkan mengenai penahannya kepada bakal suaminya itu.

Rizalina mendakwa, dia dibawa keluar daripada lokap oleh pegawai terbabit sebelum cincinnya ditanggalkan.

"Apabila saya meminta semula cincin berkenaan, pegawai terbabit meminta saya mencium pipinya terlebih dahulu namun saya enggan.

“Dia tetap cuba mencium saya, tetapi saya berjaya mengelaknya. Dia kemudiannya meramas payudara saya dan membuat komen mengenai saiz payudara saya. Tidak tahan dengan kerenahnya, saya meminta pegawai terbabit membawa saya ke lokap semula," katanya.

Rizalina berkata, pada malam itu, dia sekali lagi meminta pegawai berkenaan membenarnya menggunakan telefon.

"Bagaimanapun, dia meminta RM50 untuk bayaran tambah nilai jika saya mahu menggunakan telefon.

“Apabila saya katakan yang saya hanya ada RM20, dia meminta nombor telefon bakal suami saya untuk dihubungi, seterusnya memintanya membelikan tambah nilai untuk telefon berkenaan," katanya.

Menurutnya, pada 10 Mei lalu, akibat tekanan yang dialaminya, dia muntah-muntah dan meminta supaya dibawa ke hospital untuk rawatan.

Bagaimanapun, pegawai terbabit meminta RM200 sebagai upah untuk membawanya ke hospital.

“Saya bernasib baik kerana seorang pegawai wanita membawa saya ke hospital. Saya cuma dibebaskan pada 15 Mei tanpa didakwa.

“Sejurus dibebaskan saya terus kembali ke Filipina dan tidak akan datang ke sini tanpa ditemani," katanya.

Sementara itu, pihak polis yang dihubungi mengesahkan laporan dibuat di Balai Polis Batu Berendam minggu lalu sebelum dirujuk kepada balai polis di KLIA Sepang untuk tindakan lanjut.

SH

Share

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...