Oleh Mohd Sayuti Omar
ROMBAKAN (sebenarnya pembetulan bagi saya) kabinet dilakukan Najib Razak sekali lagi menyaksikan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin terus kempunan untuk menjadi menteri bila menantu bekas PM itu tidak disenaraikan sebagai jemaah menteri.
Begitu juga gembar-gembur mengatakan orang bertanggunjawab meluluskan judi perlawanan bola sepak piala dunia Awang Adek Hussein kononnya akan dilantik menjadi menteri penuh, juga tidak kesampaian. Desas desus mengatakan Ahmad Shabery Chik akan digugurkan juga tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya apa yang berlaku Najib hanya membetulkan kabinetnya dengan menggugurkan Ong Tee Keat sebagai Menteri Pengangkutan dengan memasukkan Kong Sho Ha untuk mengambil alih tenpat bekas presiden MCA yang kalah dalam pertandingan merebut jawatan itu dua bulan lalu.
Kedudukan Cho Ha sebagai diganti oleh Chor Chee Heung yang sebelum ini adalah Timbalan Menteri Kewangan yang cuba ditonjolkan sebagai orang bertanggungjawab dalam meluluskan judi bola sepak. Saya tidak fikir pertukaran Chee Heung itu kerana hukuman ke atasnya yang ditonjolkan sebagai insan bertanggungjawab meluluskan lesen judi itu.
Dalam pembetulan kabinet itu juga naib presiden kanan PPP, Senator Maglin Dennis D'Cruz dilantik menjadi Timbalan Menteri Penerangan Komunakasi dan Kebudayaan. Perlantikan Denis D Cruz ini dilihat sebagai persiapan sekiranya M Mugiah yang kini bermasalah di dalam PPP terlucut jawatannya sebagai Presiden yang kini berebut dengan M Kayveas.
Kemasukan Maglin itu sebagai mengganti Heng Seai Kie.
Calon MIC untuk pilihan raya kecil Hulu Selangor yang ditolak oleh Umno, G Palanivel pula dilantik sebnagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti. Perlantikan Palanivel ini dilihat sebagai pemenuhi janji - kompromi antara MIC dengan Umno semasa pertelingkahan untuk meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor. Kesan dari 'perbalahan' Umno dengan MIC telah memberi keuntungan kepada MIC apabila selain dari mendapat kerusi Hulu Selangor MIC juga dapat satu lagi kerusi Timban Menteri.
Seorang wakil dari SUPP Richard Riot pula dilantik menjadi timbalan menteri luar negeri. Perlantikan Riot sebagai mengganti tenpat dikosongkan mendiang Robert Yew yang meninggal dunia baru-baru ini.
Anak Presiden MCA, Chua Tee Young pula dilantik menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Perlantikan ini dilihat sebagai latihan untuk anak Chua Soi Lek itu belajar politik untuk bergerak lebih jauh.
Dua lagi Naib presiden MCA yang menang pada pemilihan MCA baru-baru ini juga diberi jawatan baru - mereka ialah Senator Datuk Donald Lim Siang Chai yang dinamakan sebagai Timbalan Menteri Kewangan, dan Senator Gan Ping Shou sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Pembetulan kabinet hari dilihat sebagai memenuhi kehendak parti komponen BN sahaja dan ia tidak melibatkan menteri-menteri Umno. Apakah tiada perubahan anggota menteri dan timbalan menteri melibatkan Umno itu menunjukkan prestasi mereka semuanya baik dan memuaskan.
Mungkin apa yang paling mengejutkan dalam pembetulan Kabinet ini apabila tidak disenaraikan Senator Boy sebagai anggota kabinet. Sebelum ini budak-budak senator boy telah menjaja ke seluruh negara hingga ke Bachok dan Gua Musang kononnya senator boy akan dilantik menjadi anggota kabinet.
Beliau kononnya akan di letak di Jabatan Perdana Menteri yang ditugaskan khas untuk menjaga kaum belia dalam negara ini . Kesimpulannya pembetulan kabinet dilakukan Najib hari ini benar-benar mengecewakan penyokong Khairy Jamaluddin dan senator boy (Ezam Mohammad Noor).
Kedudukan ini menepati apa yang saya fikirkan sebelum ini bahawa Najib tidak akan melakukan rombakan Kabinet melibatkan anggota menteri Umno kerana ekoran kedudukan parti itu kecil buat masa ini. Situasi ini menyebabkan Najib tidak mempunyai banyak pilihan melainkan mengekalkan menteri, timbalan menteri yang sedia ada. Beliau juga tidak akan menukar ganti menteri dan timbalan menteri Umno bagi mengelakkan timbul suasana tidak senang kepadanya. Sesungguhnya Najib sangat takut kepada kecelaruan.
detikdaily
Share
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...