Oleh: ruhan
Respon kebudak-budakan Najib dan para pemimpin UMNO-BN terhadap hasrat Anwar Ibrahim hendak melantik TPM II dalam kalangan pemimpin DAP sungguh menggelikan hati. Mereka menganggap kenyataan tersebut sebagai gimik politik dan mendakwa ketua pembangkang itu sedang terdesak hingga sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk menarik sokongan kaum Cina demi mencapai cita-citanya untuk menjadi PM.
Kenyataan mereka bertambah aneh apabila beranggapan bahawa janji itu tidak dapat ditunaikan. Dalam minda pemimpin UMNO-BN tertancap kekuh kepercayaan tentang mereka sahaja yang berhak memerintah negara ini. Ketakburan itu sudah membawa padah kepada mereka dalam PRU Ke-12 dahulu. Kesungguhan mereka memperkecil-kecilkan kemampuan Pakatan Rakyat dan kuasa pengundi berakhir dengan kekalahan 5 buah negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Rupa-rupanya ketersungkuran itu tidak menjadi pengajaran kepada UMNO-BN. Mereka terus sombong dan takbur. Di samping itu, mereka tidak mampu menyembunyikan rasa tertekan, kecewa, dendam, dan tidak menerima hakikat. Oleh sebab itu, mereka merampas Perak dengan cara yang tidak bermoral. Mereka menggunakan kuasa dan wang untuk memporak-perandakan Pakatan Rakyat. Mereka mencuba sehabis daya untuk menghantar mesej Pakatan Rakyat tidak mampu memerintah kepada rakyat.
Rakyat tahu perbuatan itu menyerlahkan sikap sambil lewa mereka terhadap tugas dan tanggungjawab kerajaan. Masa dihabiskan untuk menyerang parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Aktiviti tidak berfaedah itu diteruskan juga walaupun yang lebih terserlah di mata rakyat ialah ketidakmampuan mereka sendiri mengurus negara dari sudut ekonomi, politik, dan sosial.
Ekonomi tidak begitu membanggakan. Wang negara mengalir ke poket pemimpin kerana rasuah, salah guna kuasa, dan sebagainya. Wang ditabur dalam PRK untuk membeli undi. Namun, mereka kalah 8 daripada 11 kerusi yang dipertandingkan pascaPRU Ke-12.
Politik mereka sendiri tidak stabil. Perkelahian dalam MCA berakhir dengan kemenangan pemimpin tidak bermoral sebagai presiden. Namun, tidak kelihatan parti itu bersatu kembali sehingga ke hari ini. Orang Cina tetap menolak mereka. Buktinya jelas kelihatan di Bukit Gantang, Hulu Selangor, dan Sibu. Sungguh tidak masuk akal apabila orang Cina dikambinghitamkan semata-mata kerana kelemahan MCA. Perebutan kuasa dalam PPP belum selesai. Parti nyamuk yang diberi dua tiga kerusi dalam PRU ini pun berlagak bukan main. Gerakan tidak tentu kepala ekor hingga kini. Pemimpin kata lain, ahli-ahli kata lain. MIC sedang dilanda perang saudara. Mula-mula anak Samy tunjuk lagak. Bila kena ugut terus sorok kepala macam burung unta. Itu macamkah pemimpin kaum India?
Ketika gelora melanda UMNO-BN, kaum Cina dan India berbondong-bondong menyertai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Sokongan Melayu dan Bumiputera Sarawak kepada DAP semakin bertambah. Demam PKR akibat katak lompat sudah kebah. Kesemua ini menggelabahkan UMNO-BN sehingga diserang sawan. Kewujudan DHPP cuba dijadikan isu untuk melaga-lagakan PAS dengan DAP. Namun, mereka lihat kedua-duanya bertambah akrab apabila Tuan Guru Nik Aziz melontarkan kesyukuran kerana PAS bersama Pakatan Rakyat, bukan Barisan Nasional.
Perkembangan terbaru menyaksikan Najib dihimpit oleh Anwar untuk menyatakan pendirian tentang katak lompat menerima RM2 juta dan projek. Najib berada dalam bahaya jika dia menafikannya. Kita tunggulah dengan sabar kesudahan episod yang mencemaskan ini.
UMNO ialah sebuah parti Melayu. Namun demikian, mereka tidak pernah memperjuangkan agenda Melayu. Mereka ialah pejuang-pejuang kebangsaan yang tergelincir. Jika betul mereka berjuang untuk kepentingan Melayu, tentulah kedudukan ekonomi orang Melayu di negara ini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum Cina. Negara ini bukan sahaja sudah merdeka melebihi 50 tahun malahan juga diperintah oleh orang Melayu, tetapi Melayunya terus dihimpit kemiskinan.
Yang dikatakan berjaya tidak menjadi taukeh besar bagi membolehkan mereka merekrut anak muda Melayu yang berkemahiran. Sebahagian besarnya menjadi usahawan di peringkat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sahaja. Yang berlambak-lambak ialah Kontraktor Kelas F yang hanya tahu makan bersuap. Tak ada projek kerajaan nganga sahajalah. Macam mana nak jadi tempat bergantung anak Melayu?
Hal semacam ini tidak berlaku dalam dalam masyarakat Cina. Mereka ada rangkaian dan jaringan perniagaan yang kukuh yang boleh menjadi tempat bergantung anak-anak muda mereka. Sebab itulah masalah sosial dalam kalangan orang Cina kurang berbanding dengan timbunan pelbagai masalah dalam masyarakat Melayu.
UMNO gagal mempertingkatkan maruah orang Melayu. Padahal orang Melayulah yang menyokong mereka tanpa berbelah bagi pada peringkat awalnya. Nampaknya tebu dibalas dengan tuba. Orang Melayu masih dimamaikan oleh rasuah politik yang datang sekali-sekala. Mereka kenyang sekali untuk lapar bertahun-tahun. Begitu sekali sampainya hati Melayu-UMNO memperlakukan penganiayaan terhadap bangsanya sendiri.
Rakyat ialah tuan dalam sesebuah negara. Tiada negara yang tiada bertuan. Tuan berhak mencorakkan nasibnya. Jika hamba yang sedia ada tidak mampu memberi perkhidmatan yang diharapkan, mereka boleh ditunjukkan jalan keluar. Jalan keluar bagi UMNO-BN ialah kalahkan mereka dalam pilihan raya. Kita naikkan orang lain. Jika orang yang dinaikkan itu pun tidak berguna, kita masih diberi kesempatan untuk menukarkannya. Perubahan ialah keperluan hidup. Kedinamikan hidup bergantung kepada sejauh mana sesuatu bangsa itu sanggup membuat perubahan. Kita boleh melakukan perubahan itu dalam PRU Ke-13 nanti. Singkirkan pemimpin yang kebudak-budakan.
http://bilahrotan.blogspot.com
tranungkite
Share
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...