Rabu, Jun 23, 2010
Tuudia!! Penoreh getah jadi bookie
SEREMBAN - Seorang penoreh getah antara lapan ditahan Polis Negeri Sembilan kerana terbabit dengan pertaruhan haram sepanjang musim bola sepak Piala Dunia ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, lelaki terbabit ditahan di sebuah kafe siber dekat Simpang Pertang, Jelebu, Rabu lalu kerana menganjurkan judi haram menggunakan telefon.
“Penoreh getah berusia 40 tahun itu dikesan menganjurkan perjudian haram di siber kafe berkenaan dengan nilai pertaruhan tertinggi sebanyak RM1,000,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, polis melancarkan lapan serbuan berasingan terhadap kes perjudian haram bola sepak di negeri ini, tetapi hanya lima berjaya ditangkap membabitkan wang pertaruhan mencecah RM2.8 juta.
Hasil siasatan, katanya, polis mendapati jumlah wang pertaruhan setiap hari adalah hampir RM400,000 dengan nilai taruhan tertinggi sebanyak RM10,000.
“Mereka yang ditahan adalah lima penganjur dan tiga pemain berumur antara 32 hingga 47 tahun ditahan di kawasan perumahan, kafe siber dan restoran sekitar Seremban dan Jelebu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK), di sini semalam.
Beliau berkata, hasil kesemua serbuan itu, polis merampas wang tunai sebanyak RM14,244, empat komputer riba serta telefon bimbit (14), modem komputer (dua) dan modem jalur lebar (tiga).
Selain itu, turut dirampas, sebuah kereta jenis Proton Iswara, buku catatan (empat), kertas maklumat pertaruhan (17) dan satu jadual perlawanan bola sepak.
Selain penoreh getah itu, katanya, turut ditahan seorang wanita jurujual atas kesalahan sama, sehari selepas lelaki terbabit ditangkap.
“Wanita berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya dekat sini,” katanya.
Osman berkata, kesemua suspek disiasat mengikut Akta Pertaruhan 1953 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM200,000 atau penjara lima tahun.
Menurutnya, kesemua yang terbabit dengan judi haram itu juga dikesan membuat dan menerima pertaruhan melalui internet serta telefon untuk mengelakkan kegiatan dikesan polis.
“Bagaimanapun, hasil siasatan awal mendapati semua kes pertaruhan terbabit tidak mempunyai kaitan dengan bookie antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, sejak berlangsungnya Piala Dunia, perlawanan antara pasukan England dan Amerika Syarikat mencatatkan pertaruhan tertinggi di kalangan kaki judi di negeri ini, bagaimanapun tidak memberitahu jumlahnya.
SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...