KOTA KINABALU: Kelaparan menyebabkan seorang duda berusia 43 tahun yang disyaki merogol tiga anak kandungnya keluar dari tempat persembunyian di dalam hutan sebelum dicekup polis ketika mencari makanan di dapur rumahnya, di sini, kelmarin.
“Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota polis dan unit anjing pengesan mengepung rumah terbabit sebelum melakukan serbuan.
“Suspek berjaya ditahan di dalam rumahnya dipercayai akibat kelaparan selepas beberapa hari bersembunyi di dalam hutan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Terdahulu, Mohd Isa berkata, polis menerima maklumat awal mengenai kelibat suspek di rumahnya dari penduduk kampung kira-kira jam 3 petang hari sama tetapi disedari suspek apabila anjing peliharaannya menyalak lalu melarikan diri semula ke dalam hutan.
“Polis akhirnya mengambil keputusan untuk bersembunyi di sekitar rumah suspek dan tindakan ini tepat berikutan lelaki berkenaan kembali semula ke rumahnya beberapa jam selepas itu,” katanya.
Menurut Mohd Isa, siasatan lanjut terhadap rumah suspek turut menemui 32 kelongsong peluru senapang patah bersama 10 bahan peledak. “Suspek dipercayai memiliki senjata api buatan sendiri dikenali sebagai ‘bakakuk’ tetapi polis gagal menemui senjata terbabit di rumahnya.
“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.
Harian Metro pada Khamis lalu melaporkan tiga beradik menjadi mangsa rogol ayah kandung mereka sebelum ia terbongkar selepas anak bongsunya berusia 11 tahun secara tidak sengaja menceritakan perkara itu kepada ibu saudaranya.
Ibu saudara mangsa yang terkejut mendengar pengakuan kanak-kanak itu menghubungi ibu mangsa sebelum membuat laporan polis.
Lelaki itu yang berpisah dengan isterinya sejak 2005 dipercayai tinggal bersama ketiga-tiga mangsa dan mula merogol semua mereka yang masing-masing berusia 11, 13 dan 14 tahun sejak awal Januari lalu.
HM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...