Isnin, Julai 12, 2010
Menyayat Hati: Pasangan suami isteri digilis 4 kenderaan
Suami isteri terbaring di jalan raya selepas dilanggar empat kenderaan.
2010/07/11
KOTA TINGGI: Hasrat sepasang suami isteri mengutip durian untuk diberi kepada cucu tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 50.5, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, berdekatan Felda Air Tawar 1, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Osman Muhammad Sebot berkata, Pasimon Abdullah, 67, dan Ropiah Rosdi, 60, dari Felda Air Tawar 1 di sini, yang menunggang motosikal Modenas Kriss bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum terjatuh berhampiran kebunnya, kira-kira jam 10.20 malam.
Katanya, berdasarkan siasatan awal dan keterangan saksi, pasangan yang dalam perjalanan ke arah Kota Tinggi itu terjatuh ke sebelah kanan laluannya selepas bergesel dengan motosikal lain yang dalam perjalanan arah sama.
Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di belakang melanggar motosikal mangsa yang tercampak di kiri laluan hingga menyebabkan tayar depan sebelah kiri MPV itu bocor.
“Ketika pasangan suami isteri itu cuba bangun, mereka dirempuh kenderaan dari arah bertentangan sebelum sebuah lagi kenderaan dari arah sama turut melanggar kedua-dua mangsa yang terbaring di tengah jalan.
“Kedua-dua kenderaan itu tidak berhenti dan meneruskan perjalanan ke arah Sungai Rengit sebelum sebuah lagi kereta jenis Proton Wira juga dari arah bertentangan turut terlanggar mangsa tetapi pemandu itu berhenti untuk memberi pertolongan,” katanya di sini, semalam.
Difahamkan, orang ramai turut membantu mengawal lalu lintas di kawasan berbukit itu untuk mengelak kenderaan lain melanggar mangsa yang terbaring di tengah jalan.
Osman berkata, mayat pasangan itu kemudian dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
Polis turut mengambil keterangan daripada pemandu MPV dan Proton Wira itu serta mengesan dua kenderaan yang merempuh mangsa.
Sehubungan itu, orang ramai yang ada maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di talian 07-8837222 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, anak sulung mangsa, Mazlan Pasimon, 40, berkata dia berada di rumahnya di Pasir Gudang dan bergegas ke Kota Tinggi sebaik dimaklumkan kejadian yang menimpa ibu bapanya.
Katanya, kali terakhir beliau dan adik beradik berkumpul di Felda Air Tawar 1 pada Selasa lalu untuk meraikan adik bongsunya yang akan menyambung pengajian di Kolej Profesional Mara di Bandar Penawar.
“Saya masih ingat, arwah mak menyatakan mahu mengambil durian di kebun untuk menjamu anak cucunya dan sempat berpesan jangan tinggal sembahyang,” katanya.
HM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...