Khamis, Julai 22, 2010

Nasrudin ajak Umno sertai Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 21 Julai: Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan mengajak Umno menyertai Pakatan Rakyat jika benar ingin memperjuangkan perpaduan di negara ini dan bukannya PAS bersama-sama Umno dalam Barisan Nasional.


Ia berbeza sama sekali dengan nada laporan yang dibuat Utusan di muka depan akhbar Umno itu hari ini yang membayangkan seolah-olah Ketua Pemuida PAS itu setuju bersatu dengan Umno dalam BN.


Dalam laporannya hari ini, Utusan telah memetik tulisan Nasrudin itu dan melaporkannya dengan tajuk "Umno, PAS perlu pelan damai".

Namun akhbar itu sangat tidak beretika apabila memetik tulisan Nasrudin tetapi menukar istilah yang digunakan Nasrudin.


(Gambar: Ada niat jahat dalam laporan akhbar ini apabila menukar petikan asal dengan petikan yang direka dan diubah suai..lihat gambar atas (Utusan) dan gambar bawah (tulisan dalam blog Nasrudin)

Dalam laporannya, Utusan menggunakan istilah Nasrudin mengajak Umno menyertai Pakatan Pembangkang tetapi yang digunakan Nasrudin adalah Pakatan Rakyat.

"Maka, apalah salahnya jika kini UMNO pula mengambil giliran dan langkah serupa seperti dulunya PAS pernah menyertai Perikatan demi penyatuan melayu Islam di era Tun Abdul Razak [ Lagi pun pemimpin UMNO kini yang beria - ia benar mahukan penyatuan ] .

"Kini di era YAB Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak pulalah menghulur tangan, sanggup dan sedia bersama PAS menyertai Pakatan Rakyat memperjuangkan Islam dan bangsa melayu Islam agar kita dapat membina sebuah negara yang aman, makmur, sejahtera, adil, telus, saksama tanpa sebarang pertelagahan atau persengketaan yang merugikan ummat Islam dan bangsa Melayu itu sendiri.

"Kerana saya melihat masa depan negara adalah bersama dengan Pakatan Rakyat dan seluruh parti yang ikhlas serta jujur membangunkan negara berasaskan nilai keadilan dan kesejahteraan yang diajar oleh Islam," tulis Nasrudin dalam blognya namun diputar belit oleh Utusan.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub juga bersetuju, jika benar Umno mahukan perpaduan, Umno perlu menyertai Pakatan Rakyat bersama PAS, PKR dan DAP.

Ini kerana, PAS pernah berpengalaman menyertai BN dan ditendang keluar oleh parti assobiyah Melayu itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin menyifatkan laporan Utusan hari ini sebagai lambang Umno terlalu 'desparate' (terlalu terdesak).

"Saya rasa cukuplah dengan usaha & artikel perpaduan UMNO-PAS. Cerita pg1 Utusan hari ini nampak macam kita desperate sangat," kata Khairy dalam laman komuniti Twitternya.


(Gambar: Laporan muka depan Utusan yang disifatkan terdesak oleh Khairy)

Pandangan Khairy disokong oleh AJK PAS Pusat, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin ketika membalas twitter Khairy itu.

"mbnizar @Khairykj : Dear YB, u are definitely right. It looks too bad for UMNO. Y PAS? Y not other malays in PKR,sab/sar,ngo etc.spt hidung tak..."

(YB, awak sangat tepat. Ia dilihat terlalu buruk untuk Umno. Kenapa PAS? Kenapa tidak Melayu dalam PKR, Sabah/Sarawak, NGO dll. Seperti hidung tak...")


Sementara itu, pelbagai pihak melihat, apa yang dibuat oleh Umno dan medianya sekarang dalam isu perpaduan ini adalah strategi serampang dua mata.


Jika PAS menolak kerjasama dengan Umno bermakna PAS jahat di mata orang Malayu yang tidak memahami isu ini kerana menolak usaha ke arah perpaduan.


Namun begitu, jika PAS menerima atau positif dengan ajakan Umno bermakna PAS sudah khianati rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat dan akan menyebabkan orang bukan Melayu khasnya akan menolak PAS.


Atas dasar itu, alasan yang terbaik kini adalah menerima perpaduan yang diminta Umno tetapi bersama-sama dalam Pakatan Rakyat yang dilihat lebih adil kerana tidak ada lebih besar dalam Pakatan Rakyat. Ia berbeza dengan susunan Barisan Nasional (BN) yang meletakkan Umno adalah abang besar dan yang lain-lain adalah pengikut sahaja.



HD

1 ulasan:

  1. ego.. nya.. korang pun masih dok ikut telunjuk dap.. mana perjuangan islam korang.... bila sebelum perang cakap semuanya power.. bila perang nak start cabut lari dulu.. sengal..

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...