Dzulfikar Mashoor & Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 16 Julai: Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) tidak menolak kemungkinan akan mengajak rakyat ke turun ke jalan raya ekoran tindakan kerajaan menaikkan harga petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG) mulai tengah malam tadi.
Penyelaras Protes, Dr. Mohd Hatta Ramli ketika memberitahu perkara itu berkata, tindakan itu bagaimanapun hanya akan diputuskan pada meyuarat Protes yang dijadualkan Ahad ini.
"Kita tidak menolak kemungkinan turun ke jalan raya dalam masa terdekat. Pengalaman kita yang lepas bila rakyat tunjukkan kemarahan, baru kerajaan sedar dan akur dengan kesusahan rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai ketika dihubungi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen manakala RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik.
Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram.
Menurut Najib, dengan kenaikan yang didakwa sebagai 'penyelarasan harga' tersebut, kerajaan dijangka dapat menjimatkan RM750 juta perbelanjaan negara tahun ini.
Namun bagi Protes, strategi kerajaan itu akan terus membebankan rakyat biarpun kerajaan mendakwa kenaikan itu kecil dan tidak membebankan.
Menurut Hatta lagi, kenaikan tersebut mencerminkan bahawa senario ekonomi negara gagal dipulihkan seperti yang dicanangkan Najib melalui Dasar Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) sebelum ini.
"Kononnya akan tumbuh 6 peratus, tetapi kenaikan ini tentunya memberi jawapan sebaliknya," ujar beliau yang juga Bendahari PAS Pusat.
Dalam pada itu, beliau turut mempertikai tindakan kerajaan menguruskan perbelanjaan negara dengan tidak mengutamakan kepentingan rakyat.
"RM570 juta (subsidi) mahu diselamatkan, sedangkan kerajaan sanggup berpelanja lebih 800 juta untuk buat istana negara yang baru," ujarnya lagi sambil menganggap bahawa fizikal istana negara yang sedia ada masih dalam keadaan baik.
Sehubungan itu, katanya lagi, tindakan yang dianggap bijak oleh Najib, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I itu bakal meninggalkan kesan berantai pada rakyat.
"Najib mungkin anggap langkah itu bijak dan menguntungkan kerajaan, sedangkan kenaikan harga barang-barang ini sudah tentu memberi kesan berantai (seperti) inflasi dan kos hidup melambong naik," tegasnya lagi.
Mengulas dakwaan kerajaan bahawa pemotongan subsidi ini bagi menyediakan perbelanjaan yang lebih kepada sektor kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia, Hatta berkata ianya sangat tidak wajar kerana Klinik 1Malaysia bersifat program politik Umno BN.
Semalam, Najib di depan perwakilan Umno Kedah menegaskan bahawa kenaikan harga barang-barang keperluan rakyat itu sebagai langkah mengurangkan subsidi yang selama ini ditanggung kerajaan.
Namun, beliau tidak pula menjelaskan langkah proaktif kerajaan dalam menangani isu rasuah, ketirisan serta pembaziran dalam urus tadbir kewangan negara yang sebelum ini dipercayai umum lebih besar dari angka RM570 juta subsidi yang telahpun dirampas balik daripada rakyat.
harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...