Jumaat, Julai 16, 2010
Rogol gadis bawah umur
KOTA BHARU – Mahkamah Sesyen di sini semalam menyaksikan seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan dikenakan 14 sebatan setelah didapati bersalah merogol seorang gadis bawah umur.
Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan tujuh sebatan bagi pertuduhan pertama serta hukuman 14 tahun penjara dan tujuh sebatan bagi pertuduhan kedua terhadap Mohd Zain Deraman, 42, dari Kampung Limbat, Kubang Kerian.
Rofiah turut mengarahkan hukuman penjara untuk tempoh berkenaan berjalan secara serentak berkuat kuasa dari tarikh hukuman dijatuhkan iaitu semalam.
Berdasarkan pertuduhan pertama yang dihadapi, Mohd Zain didakwa merogol seorang perempuan Melayu berusia 12 tahun tujuh bulan pada 20 September 2003.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Likong, Limbat dekat Kubang Kerian kira-kira jam 12 tengah hari.
Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Zain didakwa merogol mangsa yang sama di rumah yang sama pada awal bulan Disember 2003 kira-kira jam 10 malam.
Atas kesalahan itu, dia didapati melakukan dua kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Dalam prosiding semalam, Mohd Zain diwakili peguam Mohd Yusoff Yaacob sementara pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.
SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...