Khamis, Julai 15, 2010

Wanita dirogol, dibunuh dan dibakar


SEPASUKAN anggota polis forensik memeriksa mayat wanita yang ditemui rentung di tepi Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berhampiran sempadan Perak-Pahang semalam.

IPOH - Seorang wanita menjadi mangsa jenayah kejam apabila dia bukan sahaja dipercayai dirogol malah dibunuh sebelum mayatnya dicampak dan dibakar di tepi Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berhampiran sempadan Perak-Pahang kira-kira 80 kilometer dari sini semalam.

Wanita berusia dalam lingkungan 30-an yang masih belum diketahui identitinya itu ditemui dengan hampir 80 peratus tubuhnya terbakar. Dia dijumpai oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut kira-kira pukul 8 pagi.

Difahamkan, selain menjumpai cebisan pakaian seperti coli dan seluar jean milik mangsa berhampiran kawasan kejadian, polis turut menemui beberapa titisan minyak diesel yang dipercayai digunakan untuk membakar mayat mangsa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya mengambil masa selama 40 minit untuk tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari sempadan Perak-Pahang.

"Polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah dirogol dan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak dan dibakar di situ kerana pemeriksaan awal mendapati hampir seluruh tubuh mangsa hangus terutama pada alat sulitnya.

"Penjenayah bertindak demikian untuk menghapuskan bukti tetapi kita perlu menunggu laporan forensik bagi menentukan kesahihannya," katanya kepada pemberita semalam.

kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...