Oleh- Tan Sri Abdullah Ahmad
Kita bukan sebangsa, sebahasa, sekebudayaan dan seagama. Yang ‘sama’ hanya kita, suka duka, tinggal setanah air. Di Amerika Syarikat (AS) pukul rata wujud dua kumpulan: 1Amerika yang menerima sebagai Amerikan tidak kira apa bahasa yang diguna (bertutur), Tuhan mana yang disembah dan berapa lama sudah berakar umbi di sana kerana Perlembagaan AS mengatasi segala-galanya.
Pada 1Amerika, rakyat baru tidak kurang haknya dengan keturunan The Pilgrims yang berhijrah dari Plymouth, England ke Amerika Syarikat pada 1620. Pada 2Amerika pula, ‘pandatang baru’ berlainan kecuali mereka fasih bertutur Bahasa Inggeris (BI) longat Amerika, mengamal tradisi Judeo-Christian (kebudayaan Yahudi-Kristian), dan beragama Kristian mazhab Prostestant. Mereka juga menerima agama Yahudi dan Katholik. 2Amerika juga tuntut ‘pendatang baru’ segera diinegrasi dan lama kelamaan diasimilasikan. Sebab itulah timbul kontroversi besar pembinaan sebuah masjid dan pusat Islam berhampiran ‘Ground Zero’ di kotaraya New York.
Di negara kita semenjak pentadbiran Najib Razak telah lahir 1Malaysia. Ada yang terpesona dan yang sinis pun ramai juga. Keadaan semasa dan bila PRU13 berlangsung akan menentukan siapa menang. Sebelum berbuka puasa dan selepas tarawikh, topik regular dan popular ialah politik...Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim. Di dalam satu majlis iftar, ramai meragui kesungguhan Pentadbiran Najib membela kepentingan, hak istimewa Melayu dan Islam. Lantas ‘seorang dalam’, kononnya dekat dengan Najib dengan lantang dan penuh keyakinan berkata: ‘PM arif dengan apa yang berlaku di padang dan sensitif dengan perasaan tidak puas hati dan kekecewaan pribumi. Segala-galanya akan diatasi nanti’. Tetamu di sebelah kiri kanan saya bergilir berbisik ‘we have heard it before haven’t we? ...kita telah dengar dulu. Actions speak louder than words...apa yang ditunggu ialah bukti dan segera!’ Saya takut, dikongsi oleh majoriti yang hadir di meja utama – bukan calang-calang orang – guruh saja besar tetapi hujan tak lebat, hanya hujan gerimis sahaja. Dikotomi atau pembahagian yang tidak nampak sama dan adil terutama dalam bidang ekonomi dan bisnes, perumahan dan lain-lain mesti ditangani secepat mungkin kalau mahu meyakini Pribumi yang tidak begitu yakin kini; dikotomi sudah lama wujud dan makin ketara.
Sementara pribumi menikmati air hujan rintik-rintik, seorang bilionnaire Cina, Tan Sri Liew Kee Sin dengan berani menegaskan langsung pancit dakwaan Kongres Ekonomi Cina bahawa kononnya DEB tidak menguntungkan Cina. Tegas Liew Cina telah berkembang maju di bawah DEB selama 30 tahun. Dia memberi dalil-dalil: ‘Majalah Forbes, Injil/Bible orang kaya raya, Cina menguasai 37% permodalan dan ekuiti dalam syarikat-syarikat tersenarai di Bursa berbanding hanya 7% dimiliki pribumi; 73% kekayaan dipunyai oleh 40 orang billionaire Malaysia, lapan dari sepuluh manusia terkaya di negara ini adalah Cina. Seorang Cina telah membina sebuah banglo berharga RM40 juta. Dari mana kekayaan ini datang kalau tidak kerana DEB?’ ujar Liew. Cerita penuh sila baca Malaysia Insider Ogos 14. Tegas Liew Cina harus jangan hanya pandai membolot dan menerima sahaja tetapi juga memberi balik!
PRU13 akan berkisar antara status quo dengan sedikit reformasi atau 1Malaysia dan Malaysian Malaysia dan Membina Melalui Islam. Apa pun Najib buat, laku, beri dan anugerah ramai sudah membuat kesimpulan: majoriti pengundi Cina antara 70 – 80 peratus mungkin tinggi lagi tidak akan menyokong BN. Apa pun MCA laku, berlagak dan berlakon pengundi Cina tidak akan bergoyang! Harapan BN ialah pada undi pribumi dan India. Kekuatan pribumi berpecah tiga: UMNO, Pas dan PKR. Ketiga-tiga parti ini akan mengejar dan berebut 60% pengundi Pribumi. Pakatan Rakyat sudah ada ‘simpanan tetap’ pengundi Cina dan juga bukan kecil bilangan pengundi India. Kalau Pas dan PKR berjaya memikat antara 40 – 45 peratus pengundi Pribumi pembangkang berada didalam keadaan sedap. Kalaulah PR memenangi antara 10 – 20 kerusi pun dalam pilihan raya negeri Sarawak (dijangka akhir tahun) itu petanda tidak baik pada pergolakan politik di Semenanjung dan Sabah. Perubahan atau ‘swing’ antara 5 hingga 10 peratus undi popular dalam PRU13 jika keputusan 2008 tidak berganjak kepada pihak mana pun akan mengubah politik negara: kalau memihak kepada BN, BN akan kekal berkuasa dan kalau kepada PR, PR lah akan memerintah. Baik BN (UMNO terutamanya) dan PR khususnya parti Keadilan calon-calon yang ‘berwibawa, bersih dan taat setia tidak berbelah bagi’ akan membantu andai mereka menang.
Najib dan Anwar – kedua-dua bukan ‘strong leaders’ seperti Dr Mahathir Mohamad tetapi mereka berpengalaman dan kedua-dua Machiavelli Melayu yang teruji! Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang mesti mulai segera satu proses pembetulan, a corrective process dalam organisasi masing-masing. Proses ini bukan sahaja tidak dapat dielakkan lagi tetapi satu perkara yang wajib dilakukan kalau mereka mahu kepustusan yang diharapkan. Pemimpin dan menteri selepas PRU13 mesti terdiri dari mereka yang berpengetahuan, berakhlak tinggi dan mengerti dinamiks politik dan ekonomi; mempunyai pandangan realis dalam politik domestik, wilayah dan antarabangsa. Lagi baik kalau mereka juga media savvy.
Sebagai latihan untuk bakal calon dan bakal menteri dan bagi meninjau bakat dan kemampuan mereka UMNO, Pas dan PKR cepat-cepatlah memobilasikan mereka yang terpilih dan jentera parti untuk mendaftarkan bakal pengundi yang di anggar berjumlah 4 juta belum berdaftar itu, sedihnya majoriti Pribumi terutama yang tinggal di bandar-bandar dan di ibu negara. Lazimnya mereka yang ditolong mendaftar sebagai pemilih menyokong parti yang mengambil initiatif itu. Tetapi tidak ada jaminan. Apa pun satu risiko yang baik.
Najib dan Anwar kedua-dua pemidato tetapi dalam politik juga seperti dalam bidang lain great talkers tidak semestinya berkesan dan bijak terutamanya dalam pentadbiran. Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak bukan orators tetapi Tunku dan Tun Razak adalah pentadbir yang cemerlang terutama Tun Razak. Dasar-dasar mereka dilaksanakan segera dan dengan taat bagi menafaatkan rakyat. Bercakap dan bersyarah bukan seperti menulis dan mentadbir! Benar bagi pemimpin dan PM kebolehan berkomunikasi penting. Komunikator yang baik adalah satu plus, satu kelebihan. Tidak pandai atau tidak petah bermadah satu handikap, satu hambatan. Pada saya hasil (results) lebih penting dari kepetahan berpidato kerana tidak semua pemidato dapat melahirkan hasil!
Apa pun jangan perkecilkan bakat pandai bercakap. Sebagai PM dia harus mampu memberi tunjuk arah matlamatnya, meyakini dan mengispirasikan rakyat dan para pentadbir
DD
Pemimpin Melayu hanya pandai hisap darah rakyat melalui GLC aje untuk mengayakan kroni dengan menggunakan wang rakyat tetapi tidak pandai mencari hasil lain seperti bangsa Cina di negara ini. Mereka sentiasa melihat peluang perniagaan yang luas di hadapan, tetapi pemimpin Melayu sentiasa melihat laba yang boleh didapati jika dapat menipu lebih ramai orang Melayu. Terutama pak cik dan mak cik Felda... hidup UMCO...
BalasPadam