Rabu, Ogos 18, 2010

Jalur Gemilang Berlogo 1Malaysia Langgar Perlembagaan



Oleh Faizal Ezzany

SHAH ALAM 18 Ogos - Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali mendesak pihak berkuasa menyiasat tentang dakwaan wujudnya Jalur Gemilang yang telah ditambah dengan gagasan 1Malaysia Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang dihubungi Suara Keadilan menjelaskan Jalur Gemilang itu telah dijual di setiap sekolah dan kemungkinan besar ia akan diberikan secara percuma kepada rakyat negara ini bersempena sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos nanti.

"Saya berharap pihak berkuasa dapat membuat siasatan terhadap dakwaan tersebut dan mereka perlu mengenal pasti siapa sebenarnya yang melakukan kerja-kerja pencabulan terhadap jalur Gemilang itu.

"Biasanya Jalur Gemilang tidak boleh ditokok tambah kerana ia adalah sebahagian daripada Perlembagaan Negara tetapi apa yang berlaku amat mengecewakan kita sebagai rakyat Malaysia kerana Jalur Gemilang telah diletakkan pula 1 Malaysia.
"Perkara sedemikian perlu dihentikan segera dan mana-mana Jalur Gemilang yang telah dijual atau berada dipasaran perlu ditarik balik agar pencabulan ini tidak merebak keseluruh negara," jelasnya.

Tambahnya lagi, pihak berkuasa perlu memastikan apakah hukuman dan tindakan yang perlu diambil dari sudut undang-undang.

"Tentu ada hukum dari sudut undang-undang ke atas pencabulan tersebut dan saya berharap pihak berkuasa dapat memainkan peranannya. Apa yang pasti tindakkan awal kita kena hentikan segera pengeluarannya," sambungnya lagi.

Dalam pada itu melalui laman 'twitter'nya Dr Syed Husin memberitahu mungkin pada masa sekarang 1 Malaysia di letakkan pada Jalur Gemilang dan adakah selepas ini gambar menteri mahupun peguam juga akan diletakkan juga.


SK


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...