Ahad, Ogos 29, 2010

Pakej gadis genit


PETALING JAYA - Berkaraoke bersama gadis-gadis genit yang mengiurkan antara pakej yang ditawarkan sebuah pusat karaoke di Desa Mentari, dekat sini.

Pusat karaoke bertaraf lima bintang yang menjadi tumpuan lelaki hidung belang tanpa mengira pangkat dan umur itu hanya mampu bertahan tiga bulan sebelum diserbu pegawai dan anggota Cawangan Kongsi Gelap Perjudian dan Maksiat D7 IPD Petaling Jaya, kelmarin.

Dalam operasi dua jam bermula 11 malam itu, 16 gadis warga asing dan 6 gadis tempatan yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) ditahan.

Ketika diserbu ke semua gadis tersebut tidak sempat berbuat apa-apa berikutan leka melayan pelanggan masing-masing di setiap bilik di tingkat satu dan dua bangunan tersebut.

Pegawai D7, Asisten Supritendan Mohd Nazri Daud berkata, serbuan dilakukan hasil intipan selama seminggu di pusat berkenaan.

Siasatan awal mendapati gadis–gadis terbabit bukan sahaja memberi layanan dan belaian istimewa kepada pengunjung malah turut menawarkan perkhidmatan seks berdasarkan permintaan pelanggan mengikut harga yang dipersetujui.

“Modus operandi kelab ini, jika ada permintaan pengunjung dibawa ke bahagian tertentu untuk memilih gadis yang diinginkan,” katanya

Difahamkan bayaran dicaj berbeza iaitu RM70 hingga RM80 untuk gadis asing manakala gadis tempatan RM95 hingga RM100 untuk satu jam.

“Kesemua gadis berusia awal 20an ditahan adalah Indonesia (6), Vietnam (9), China (1) dan tempatan (6).

“Seorang lelaki berusia 49 tahun yang merupakan pengurus pusat terbabit turut ditahan dan 10 pengunjung diperiksa.

Sementara itu, dalam operasi berasingan sebuah pusat yang menawarkan urutan ‘body to body’ (B2B) dan urutan batin di kawasan yang sama turut diserbu.

Hasilnya, empat gadis warga asing Indonesia (2), Vietnam (1) dan China (1) serta dua penjaganya berusia 20an dan 30an ditahan.

“Pemeriksaan mendapati pusat urut ini baru dua minggu beroperasi dan dilengkapi cctv bagi memantau kehadiran pihak berkuasa selain tidak mempunyai lesen. Manakala untuk pusat karaoke kita akan semak semula rekod permohonan lesen yang dibuat dari PBT,” katanya.

Jelas Nazri, pusat karaoke di lokasi yang sama pernah diserbu tiga kali pada tahun 2007 dan diarah tutup berikutan sering beroperasi melebihi tempoh masa yang dibenarkan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen iaitu mengaji pekerja asing secara tidak sah dan 39b peraturan-peraturan Imigresen kerana menyalahgunakan pasport,” katanya.

Kesemua ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

SH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...