Rabu, September 15, 2010

Awas panggilan 'Doktor seks'

KUALA TERENGGANU – Orang ramai khususnya wanita diminta berhati-hati jika mendapat panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai doktor bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Lelaki terbabit yang dipercayai ‘gila seks’ dikatakan menyamar sebagai pegawai perubatan dan menghubungi pesakit wanita lalu memberi arahan tidak masuk akal, kononnya untuk mengubati penyakit yang dialami mereka.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Terengganu, Dr Mohammad Omar ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang pesakit wanita yang mendakwa dihubungi ‘Dr Tan’.

Menurutnya, lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Dr Tan itu telah menghubungi mangsa untuk mengajar wanita itu melakukan pemeriksaan payu dara sendiri (BSE) melalui panggilan telefon.

“Bagi meyakinkan mangsa bahawa dia benar-benar doktor, lelaki itu turut menyatakan beberapa maklumat peribadi mangsa menyebabkan wanita itu percaya kepadanya,” katanya kelmarin.

Dr Mohammad berkata, lelaki itu dipercayai mendapatkan maklumat peribadi mangsa di hospital secara menyamar sebelum menghubungi mereka dan memberi arahan-arahan lucah kononnya untuk pemeriksaan kesihatan.

Menurutnya, kes sama pernah dilaporkan beberapa tahun lalu namun apabila kegiatannya itu disebarkan kepada umum, lelaki gila seks itu menghentikan perbuatan itu buat seketika, sebelum kembali mengganggu pesakit selepas ia reda.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana wanita yang pernah menjadi mangsa doktor palsu terbabit membuat laporan polis bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Memang kita ada terima aduan mengenai perkara ini tapi jabatan tidak dapat mengambil tindakan selain memaklumkan bahawa pegawai perubatan tidak merawat pesakit melalui panggilan telefon kerana itu bukan prosedur kita.

“Perbuatan ini juga sebenarnya menjejaskan nama baik Jabatan Kesihatan dan kita harap orang ramai buat laporan polis jika ada yang menjadi mangsa supaya pihak berkuasa dapat ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

SH

1 ulasan:

  1. Najib tu lagi teruk....PM seks pulak...!!!!

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...