BUTTERWORTH: Keberkatan dan kesucian Ramadan terus dicemari segelintir remaja yang melakukan kesalahan berkhalwat dan berkelakuan kurang sopan di tempat awam dan hotel murah, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 kelmarin.
Dalam 'Ops Gegar dan Sahur' oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang bermula jam 12 tengah malam hingga jam 4.30 pagi kelmarin, sebanyak 11 pasangan remaja dicekup di beberapa lokasi di sekitar negeri ini.
Pasangan berkenaan yang berusia 16 hingga 27 tahun ditahan di persisiran Pantai Sungai Pinang, Georgetown dan kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Bagan Ajam di sini serta beberapa hotel murah di sekitar Simpang Ampat, Seberang Prai Selatan (SPS).
Operasi yang diketuai Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan, disertai seramai 15 pegawai penguat kuasa JHEAIPP serta pegawai masjid.
Dalam operasi di persisiran Pantai Sungai Pinang, pasukan itu menahan sepasang pelajar tingkatan lima yang sedang berpelukan di atas tembok batu dalam sinaran lampu yang samar-samar.
Pasangan remaja berusia 17 tahun itu yang terkejut dengan kehadiran penguat kuasa JHEAIPP, memohon tidak dikenakan tindakan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan mereka.
Dua pasangan lagi yang berkelakuan kurang sopan diberkas di kawasan R&R Bagan Ajam. Semua pasangan itu kemudian diberi notis saman untuk hadir ke Pejabat Penguat Kuasa JHEAIPP untuk siasatan lanjut.
Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 dan sabit kesalahan berkelakuan kurang sopan dan boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Khairul Azman berkata, pasukan penguat kuasa turut melakukan pemeriksaan ke atas beberapa hotel sekitar Simpang Ampat dan di sini yang sering menjadi tumpuan remaja untuk melepaskan rindu bersama kekasih masing-masing.
Dalam pemeriksaan itu, tiga pasangan ditahan kerana disyaki berkhalwat, malah seorang daripada wanita yang ditahan, mengaku sudah berzina dengan kekasihnya sejak empat tahun lalu.
Ketika pemeriksaan dilakukan, remaja perempuan berusia 19 tahun itu hanya memakai blaus dan berseluar ketat paras paha tanpa memakai coli dan seluar dalam, manakala pasangannya berusia 20-an berpakaian lengkap.
"Dalam pemeriksaan itu, pegawai penguat kuasa menemui sehelai coli dan singlet di atas katil dipercayai milik remaja perempuan serta kesan tompokan darah pada cadar tilam," katanya.
Semakan mendapati bilik berkenaan didaftarkan di atas nama ibu remaja perempuan berkenaan dan dipercayai remaja terbabit menggunakan kad pengenalan ibunya tanpa kebenaran untuk mendaftar masuk ke hotel berkenaan.
Khairul Azman berkata, pasangan itu yang gagal membuktikan sebarang dokumen pernikahan mereka, dibawa ke Balai Polis Butterworth untuk laporan tangkapan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 27 (a) (b) enakmen yang sama atas kesalahan berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
btmmari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...