Rabu, September 22, 2010

Dua maut,satu terjatuh ke laut di Jambatan Pulau Pinang


REMUK...Nissan Grand Livina remuk selepas merempuh jambatan menyebabkan enjinnya tercabut.

GEORGETOWN: “Sebaik menghampiri kenderaan itu, saya lihat empat mangsa, sepasang di tempat duduk depan dan sepasang lagi di barisan tengah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Tempat duduk di belakang sekali kosong, namun saya diberitahu seorang penumpang lelaki yang duduk di situ tercampak ke dalam laut,” kata Lee Chui Yee, 45, saksi kemalangan yang meragut nyawa sepasang suami isteri manakala tiga rakan mereka cedera, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 malam di Kilometer 2.2, Jambatan Pulau Pinang ketika lima mangsa terbabit menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dalam perjalanan dari Bukit Mertajam ke pusat hiburan di bandar raya ini.

Mangsa terbunuh, Teh Bor Yi, 19, yang memandu MPV itu dan isterinya, Khor Lee Mui, 17. Pasangan suami isteri muda itu dikatakan baru menyambut kelahiran anak sulung perempuan mereka yang berusia dua bulan.



PARAH... seorang mangsa yang parah dibawa ke HPP untuk rawatan.

Lee berkata, kemalangan berlaku apabila MPV dipandu laju itu cuba memotong sebuah kenderaan di tengah lorong sebelum hilang kawalan lalu merempuh tembok kiri jambatan.

Menurutnya, MPV itu terbabas ke kanan jalan dan berpusing sebelum dilanggar lori membawa sayur-sayuran menyebabkan enjin kenderaan itu tercabut dan tercampak di tengah jalan.
“Saya berada di belakang kenderaan itu ketika kemalangan berlaku. Selepas memberhentikan kereta, saya menghampiri kenderaan itu. Ketika itu, saya lihat empat mangsa tidak sedarkan diri.

“Saya bersama beberapa pemandu lain cuba membantu mengeluarkan dua penumpang belakang dan anggota bomba dan penyelamat pula mengeluarkan pemandu dan penumpang depan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Prai, Aazelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.24 malam sebelum sebuah jentera bersama dua pasukan Unit Tindakan Cepat Bermotosikal (RIM) bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, dua penumpang di tempat duduk bahagian tengah dikeluarkan dengan bantuan orang ramai dan pihaknya mengambil masa 20 minit mengeluarkan suami isteri tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

Katanya, seorang lagi mangsa tercampak ke dalam laut diselamatkan Pasukan Gerakan Marin Wilayah Utara sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Kami menerima bantuan dari Hospital Seberang Jaya dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) membawa semua mangsa ke hospital, namun dimaklumkan dua daripada mangsa meninggal dunia di HPP,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Turus Trafik negeri, Deputi Superintendan Abd Rahim Din berkata, pasangan suami isteri, Teh dan Khor meninggal dunia di HPP kira-kira jam 1 pagi manakala tiga rakan mereka yang cedera dirawat di HPP.

Menurutnya, mangsa cedera ialah Lee Chun Hao, 17, (yang terjatuh ke dalam laut), Teh Bee Bee, 20, patah kaki kanan manakala Chiam Khee Wei, 17, dilaporkan dalam keadaan kritikal.

“Pemandu lori sayur bersama dua rakan wanitanya yang terbabit dalam kemalangan itu dalam perjalanan dari Padang Besar, Perlis ke Georgetown. Mereka tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati pasangan suami isteri itu mati akibat kecederaan dalaman yang teruk dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kakak Khor, Khor Liew Kim, 22, berkata, mendiang adiknya pada mulanya mahu duduk di rumah sebelum seorang rakan menghubungi mengajaknya berhibur di sebuah kelab malam di Upper Penang Road, Georgetown.

Menurutnya, adiknya bekerja di sebuah kedai berkahwin dengan Teh, seorang jurujual aksesori kenderaan, Januari lalu dan dikurniakan anak perempuan berusia dua bulan yang kebetulan ditinggalkan di rumah bersama kedua-dua ibu bapanya.

“Kejadian ini mengejutkan semua ahli keluarga dan ibu saya menangis tanpa henti kerana tidak mampu menerima kenyataan,” katanya.

Bapa Teh yang enggan dikenali pula berkata, kenderaan MPV itu milik rakan anaknya yang mengajak pasangan itu berhibur dan mereka tidak mampu menahan kesedihan, apatah lagi mengenangkan anak pasangan berkenaan yang masih lagi kecil.

HM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...