Ahad, September 05, 2010

Gambar fitnah: Polis digesa ambil tindakan segera



Mohd Ali Hashim

GEORGETOWN, 4 Sept: Pihak polis digesa supaya segera mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melalui penyebaran gambar teknik pertindihan (super impose) menyembelih lembu korban.

Ketua Pemuda Dapsy Pulau Pinang, Ng Wei Aik berkata, polis sepatutnya menjalankan siasatan secara menyeluruh dan segera mengambil tindakan terhadap mereka yang sengaja cuba bermain dengan isu sensitif.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, dakwaan tersebut adalah tidak berasas sama sekali.

"Tindakan penyebaran gambar 'super impose' ini adalah melampau. Ia adalah isu yang sangat sensitif dan merbahaya kerana ia boleh memecahbelahkan masyarakat.

"Ketua Menteri tahu membezakan apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak patut dilakukan. Ini termasuklah dalam isu yang membabitkan hal agama," katanya.

Manakala Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mansor Othman mengulas isu itu berkata apa yang telah dilakukan adalah suatu tindakan jahat dan keji.

Kata beliau, kumpulan yang kecewa itu akan membuat apa saja sama ada melalui media ataupun internet bagi mengelirukan masyarakat.

"Sejajar dengan ini, maka kerajaan negeri amat berharap rakyat tidak akan terpedaya dengan tindakan terdesak yang telah dilakukan oleh mereka yang semakin kecewa.

"Sehubungan dengan itu risalah penjelasan mengenai isu ini dan beberapa isu seperti dakwaan doa dalam khutbah Jumaat turut diperjelaskan melalui pengedaran 150,000 risalah untuk seluruh rakyat negeri ini," ujarnya.

HD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...