Oleh Wira Arjuna
Arahannya cukup jelas - Umno harus menjarakkan diri dari Perkasa demi perpaduan Barisan Nasional dan lebih penting untuk mendapatkan semula keyakinan pengundi bukan Melayu, khususnya kaum Cina.
Namun arahan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja disanggah oleh pemimpin tertinggi parti secara terbuka, malah ditolak sendiri oleh Utusan Malaysia, akhbar kawalan parti itu.Adakah Najib menghadapi krisis kepimpinan dalam Umno? Adakah Najib kini ibarat nakhoda tanpa anak kapal?
Sekali imbas dipandang jelas isu Perkasa mendedahan kerapuhan kepemimpinan Najib sebagai teraju utama Umno.
Apabila arahan dan ketetapan Presiden boleh diperlekeh dan diremehkan oleh pemimpin lain, itu isyarat jelas beliau hilang kawalan ke atas partinya.
Hakikatnya ialah, pemimpin-pemimpin seperti Zahid Hamidi, Noh Omar dan Ahmad Maslan tidak merasakan perlu untuk mengendahkan haluan yang ditetapkan oleh Najib.
Begitu juga dengan Utusan Malaysia yang mempersoalkan sama ada tindakan meminggirkan Perkasa akan menjamin kemenangan untuk Umno-BN pada pilihan raya umum akan datang.
Justeru walaupun pemimpin seperti Setiausaha Agung parti Tengku Adnan Mansor dan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin membuat kenyataan terbuka membidas Perkasa, komen-komen daripada Zahid, Noh Omar dan Ahmad membuktikan Umno semakin berpecah belah.
Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukriz mengambil ketetapan bahawa Umno harus menyokong Perkasa dalam mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu.
Itu dinyatakan secara terbuka. Namun yang tersirat dalam sokongan itu adalah bahawa Umno juga harus bersekongkol dengan Perkasa dalam membidas sebarang cubaan untuk mempertikaikan dasar-dasar yang menyentuh hak keistimewaan orang Melayu.
Ini temasuk tindakan mengheret pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sendiri untuk siasatan polis kerana mempersoalkan pengagihan ekuti 30 peratus untuk Bumiputera.
Adalah menjadi “rahsia terbuka’ dalam Umno, bahawa Najib mempuyai ‘masalah’ dengan kalangan pemimpin kanan Umno dan seorang daripada mereka adalah Zahid Hamidi, bekas setiausaha politik beliau.
Zahid, kini seorang naib presiden Umno dikatakan kecewa dengan Najib kerana campurtangan kerabat keluarga Najib dalam urusan kontrak Kementerian Pertahanan yang dipimpinnya.
Susulan itu, Zahid bingkas mengisytiharkan bahawa bukan beliau bertanggungjawab atas kecurian dua enjin jet pejuang yang di dedahkan awal tahun ini, sekali gus cuba mengheret Najib dalam skandal itu, kerana beliau menjadi Menteri Pertahanan ketika itu.
Hakikatnya juga ialah, dalam dalil politik Zahid, beliau merasakan lebih afdal bagi dirinya beralih ke kem Muhyiddin Yassin dan Mahathir daripada memberi sokongan bulat kepada regu Najib-Hishammuddin.
Dengan mengambil kira pemilihan Umno yang akan berlangsung pada tahun 2012, dalil politik seperti ini juga menjadi dokongan pemimpin-pemimpin lain seperti Noh Omar dan Ahmad Maslan.
Persoalan yang tidak kurang menarik dalam semua ini adalah mana dan apa pendirian Muhyiddin Yassin ketika bosnya Najib dan Umno diasak oleh Mahathir dan Perkasa sendiri.
Sikap berdiam diri Muhyiddin hanya menguatkan spekulasi bahawa dua pemimpin tertinggi Umno itu sudah tidak boleh lagi bekerjasama kerana bersilang haluan atas isu-isu asas 1Malaysia.
Sisa-sisa kepercayaan antara mereka nampaknya semakin mengecil dan memberi kesan mendalam kepada parti tunjang Barisan Nasional itu.
Isu Perkasa jelas menzahirkan pemimpin-pemimpin Umno jauh daripada bersatu di bawah naungan Najib.
Sebaliknya ada antara mereka masih melihat kepada Mahathir untuk mencorakkan kepimpinan Umno pada pemilihan parti akan datang.
Sejak menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno lebih setahun lalu, Najib dilihat sebagai lebih berkebolehan dari Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Namun seperti Abdullah, Najib sukar untuk mengurangkan pengaruh Mahathir dalam Umno, dan isu Perkasa menzahirkan perbezaan yang ketara antara dua pemimpin itu.
Sama ada Najib mempunyai kemampuan untuk meminggirkan Mahathir dan Perkasa dilihat sebagai bakal menentukan kelangsungan beliau sebagai Perdana Menteri ke lima Malaysia.
SK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...