Jumaat, September 24, 2010

Shamsul Gesa Khalid Ikut Prosedur Kanun Acara Jenayah


SHAH ALAM 23 Sept - Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin memandang serius kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang mendakwa beliau gagal dihubungi bersabit laporan mengenai spekulasi kes pembunuhan Sosilawati Lawiya yang disiarkan dalam portal berita TV Selangor.
Malah Shamsul diancam dengan waran tangkap sekiranya gagal memberi bekerjasama kepada pihak polis untuk mengambil keterangannya.
Dalam kenyataan media di dalam blognya, Shamsul menegaskan beliau tidak membuat sebarang tuduhan, sebaliknya hanya menimbulkan pertanyaan samada wujud sebarang bentuk salahguna kuasa dan penyelewengan di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Banting yang gagal bertindak terhadap beberapa kes bunuh terdahulu yang melibatkan suspek utama, yang telah diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.
"Kes-kes ini, hanya dibuka semula selepas kes pembunuhan Datuk Sosilawati meletus yang nyata mendapat perhatian luar biasa daripada media.
"Saya juga ingin saya tegaskan, sehingga hari ini saya tidak pernah dimaklumkan menurut kaedah dan amalan undang-undang seperti yang diperincikan di dalam Kanun Acara Jenayah di dalam hal yang bersabit dengan prosedur memberikan sebarang kenyataan untuk membantu siasatan polis," ujar beliau.
Justeru katanya, adalah sangat tidak adil dan tersasar daripada lunas undang-undang jika polis mendakwa beliau gagal dihubungi sedangkan tidak ada sebarang percubaan menurut kaedah undang-undang untuk menghubunginya.
"Saya menggesa pihak polis khususnya Khalid bersikap profesional dalam hal ini. Sekiranya saya mahu dipanggil, sewajarnya prosedur yang betul dipatuhi, bukannya siasatan melalui media (investigation through media)."Sebagai rakyat Malaysia, apatah lagi sebagai pengamal undang-undang saya tertakluk kepada undang-undang, bukannya hebahan media seseorang pegawai kanan polis.
"Saya juga akan menghantar sesalinan respons rasmi saya ke laman sosial Facebook Datuk Khalid memandangkan “kaedah Facebook” ini merupakan kegemaran beliau!," tambah beliau.
Dalam pada itu, Shamsul turut mengarahkan peguamnya, Yusmadi Yusoff yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau untuk bertindak bagi pihaknya di dalam isu ini dan berurusan dengan pihak polis.
Katanya lagi, Yusmadi boleh dihubungi di talian 0123093469 atau emel, yusmadi.yusoff@gmail.com.
"Saya akan memperincikan pendirian dan kenyataan saya kepada umum bersabit kes ini di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pukul 3.00 petang pada esok," jelasnya.


SK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...