Sabtu, September 18, 2010

Suasana Rumah Suspek Pembunuh Sosilawati


Sekali pandang secara spontan, kawasan rumah rehat yang terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit di Gadong, Banting, serupa dengan rumah rehat lainnya.

Halaman rumahnya yang luas diserikan lagi dengan pepohon rendang dan kandang yang menempatkan burung atau binatang peliharaan.

Kawasan seluas sebuah padang bola sepak itu, yang dimiliki pasangan peguam adik-beradik berusia 41 dan 38 tahun, dipercayai menjadi 'medan' mencabut nyawa jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga lelaki lain antara penghujung bulan lalu dengan awal bulan ini.

Kunjungan pemberita semalam ke rumah rehat itu, yang terletak kira-kira 800 meter dari jalan utama menuju ke Teluk Sepat dari pantai Morib, semalam, mendapati halamannya dibarisi pokok sirih di sebelah kanan dan beberapa pokok lain di sebelah Terdapat seekor merak dan 16 ekor anjing berkeliaran dalam kawasan tersebut.
kirinya.
Kira-kira 100 meter dari pintu masuk, terdapat beberapa 'chalet' yang menempatkan bilik mesyuarat, bilik istirahat, bilik karaoke dan bilik tidur.

Dua anggota polis yang ditemui di pintu masuk tidak membenarkan wartawan memasuki halaman rumah rehat itu kerana siasatan rapi masih dijalankan.
Namun, mereka membuka pintu pagar elektronik itu bagi membenarkan jurugambar akhbar ini merakamkan sekitaran dalaman kawasan bertembok setinggi 1.5 meter itu hanya buat seketika.

Dipercayai pembunuhan dilakukan dalam salah sebuah bilik dan setelah itu mayat keempat-empat mangsa: Datuk Sosilawati; pemandu peribadinya, Encik Kamarudin Shamsudin, 44 tahun; peguam, Encik Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 tahun; dan pegawai bank CIMB, Encik Noorhisham Mohammad, 38 tahun; dibawa ke luar dan dibakar secara terbuka.

Menurut satu sumber, mereka yang terlibat dikatakan mengalas lantai dengan enam keping zink yang kemudian dibuang dan dijumpai oleh penyelam polis marin di Sungai Gelanggang Buaya, di Kampung Kelanang, tidak jauh dari sini.

Satu lagi sumber menyatakan, 'rumah rehat yang dibina peguam adik-beradik itu hanya siap didirikan dan digunakan sejak dua tahun lalu'.

Sementara itu, seorang pemilik bengkel kereta, Encik P. Balasandram, 54 tahun, memberitahu Berita Harian, kedua-dua peguam yang kini ditahan polis adalah saudara jauhnya, yang beliau yakin mendalangi pembunuhan isterinya, mendiang T. Selvi, 44 tahun, pada April tahun lalu.

'Saya sendiri hampir-hampir mati dibelasah orang upahan peguam itu kerana mengemukakan saman sivil ke atasnya setelah cuba menipu saya berhubung satu perjanjian membabitkan pinjaman wang bagi dua individu bernilai sekitar RM100,000 ($43,000),' katanya. Menurut ayah tiga anak berusia 14 hingga 20 tahun itu, kehidupan kedua-dua peguam itu berubah begitu drastik sejak lima tahun lalu.

'Sebelum ini mereka hidup amat sederhana, terutama sekali yang sulung, tapi sekarang dia ada tiga kereta mewah, dua banglo dan beberapa rumah sebandung. Mana dia dapat banyak duit dalam sekelip mata?' tanya beliau.

Firma guaman adik-beradik tersebut telah dikunci dan polis tidak mengizinkan sesiapa memasukinya.

Sementara itu, polis telah menemui pemukul bola kriket yang dipercayai digunakan memukul mangsa sehingga mati dan lebih 300 serpihan tulang di dasar Sungai Panchau.
Polis dalam pada itu berkata tahanan reman kelapan-lapan suspek akan dilanjutkan.

- Chairul Fahmy Hussaini/bhs



sentiasa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...