Selasa, September 07, 2010

TV3 Didakwa Cuba Satukan Agama Di Bawah Payung 1Malaysia

Oleh Dzulkarnain Taib


SHAH ALAM 6 Sept - Dewan Pemuda PAS mendakwa iklan Aidilfitri yang disiarkan oleh TV3, stesen televisyen yang dikaitkan dengan Umno dianggap satu usaha untuk menyatukan semua agama di negara ini di bawah konsep 1Malaysia selain menggalakkan amalan syirik di kalangan umat Islam terutamanya golongan belia dan kanak-kanak.
Semalam stesen televisyen tersebut membuat keputusan menarik balik iklan tersebut setelah dikritik hebat serta memohon maaf kepada umat Islam di negara ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS PUsat, Nasrudin Hassan At Tantawi berkata iklan tersebut jelas menunjukkan stesen swasta tersebut gagal dalam menyelami sensitiviti dan mengetahui batasan agama dan kaum walaupun setelah 26 tahun beroperasi.

"Inilah bahananya apabila konsep 1Malaysia yang menjadi sloganan Perdana Menteri tidak difahami oleh rakyat Malaysia hatta pemimpin Umno-Barisan Nasional sendiri.
"Akhirnya TV3 membuat tafsiran sambutan Aidilfitri mereka sendiri sehingga boleh menyebabkan gugurnya akidah seseorang Muslim itu. Tak faham konsep 1Malaysia
sampaikan agama pun hendak disatukan sebab itu kita lihat ada unsur Kristian, Buddha, Hindu dalam iklan tersebut," tegas Nasrudin kepada Suara Keadilan ketika dihubungi.

Malah lebih mengejutkan, beliau mempersoalkan keberkesanan fungsi serta peranan yang dimainkan oleh agensi seperti Lembaga Penapis Filem yang memantau serta menapis bahan yang disiarkan melalui media elektronik seperti filem, drama, iklan dan dokumentari.
"Kita lihat dalam kes iklan TV3 ini seolah-olah Lembaga Penapisan Filem lepas tangan atau terlepas pandang mengenai iklan tersebut walaupun mereka mempunyai panel syariah. Apa yang mereka buat sampai lalai begini?

"Kita desak Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) supaya memantau dan mengambil tindakan terhadap TV3 kerana menyiarkan iklan seperti itu yang menimbulkan kekeliruan terutamanya kepada kanak-kanak yang menontonnya.

"Kalau orang awam boleh menyedari iklan TV3 tersebut boleh menggugat akidah dan keimanan umat Islam bagaimana pula agensi seperti Pusat Islam, Jakim dan para Mufti di Malaysia," tegas Nasrudin lagi.

Iklan Aidilfitri terbitan stesen televisyen itu memaparkan beberapa babak yang boleh ditafsirkan mempunyai pengaruh agama Kristian dan Buddha.

Antara yang paling menonjol ialah adegan dimana seorang lelaki tua yang berkopiah muncul di luar tingkap sambil mengajak dua kanak-kanak menaiki becanya yang berwarna merah.

Beca itu pun secara magik terbang membawa kedua-dua kanak tersebut menjelajah alam di waktu malam.

Unsur ini jelas dilandaskan kepada perayaan Hari Natal di mana watak Santa Claus yang berpakaian serba merah dengan menaiki pedati terbang yang ditarik oleh sekumpulan rusa.

Begitu juga dengan adegan yang menunjukkan bunga teratai mengembang yang merupakan simbol daripada ajaran Buddha.

"TV3 mempamerkan Aidilfitri itu sebagai satu sambutan perayaan yang sama taraf seperti sambutan parayaan agama dan kaum lain seperti Kristian, Hindu, Buddha, Tahun Baru Cina dan sebagainya. Walhal Aidilfitri ialah satu ibadah merupakan manifestasi kesyukuran umat Islam berpuasa melawan nafsu selama sebulan serta melatih jiwa dalam proses penyucian rohani atau spiritual seseorang islam itu.

"Ia bukan majlis pesta seperti yang digambarkan oleh TV3 atau media milik Umno-BN yang mengosongkan jiwa Aidilfitri itu dengan sambutan ala jahiliyah yang dipenuhi gelak ketawa, makan minum serta pergaulan bebas tanpa ada had dan sempadan di mana halal dan di mana haram sesuatu perbuatan itu," jelas Nasrudin panjang lebar.

Nasrudin berkata Dewan Pemuda PAS akan menyampaikan memorandum bantahan kepada pihak pengurusan TV3 dan Kementerian hari ini.

SK


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...