Sabtu, September 04, 2010

Umno sedang ghairah ‘menghodohkan’ wajah Islam

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA


Seorang rakan Cina bukan Islam bertanya, “Betulkah Islam menganggap orang bukan Islam sebagai najis dan tidak layak memasuki masjid atau surau?”. Terkedu juga untuk menjawabnya.

Saya lalu bertanya, di mana dia mendapat ‘tanggapan’ itu? “Dari media masa,” katanya. Memang benar, sejak berhari-hari semua media talibarut BN menyemarakkan sentimen perkauman dengan mensensasikan berita kononnya Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching bertazkiroh di dalam surau. (Kerana jahil, media BN menganggap tazkiroh bermaksud ucapan).

“Bagaimana bukan Islam nak dapat gambaran yang jelas mengenai Islam jika memasuki masjid pun tak dibenarkan,” ujarnya yang membuatkan saya hampir ketawa kerana kata-kata seperti itu sepatutnya lahir dari mulut orang Islam.

“Secara berterus terang saya nak beritahu bahawa sebagai seorang Muslim saya wajib menganggap agama selain Islam adalah tidak betul atau sesat, tetapi kalau kamu hendak mendapat gambaran sebenar Islam dari media-media BN maka kamu akan dua kali sesat,” jelas saya.

Rakan saya rupanya tidak tersinggung saya menggunakan perkataan ‘sesat’, tetapi memberitahu bahawa bukan Islam amat marah apabila Umno menganggap mereka macam ‘najis’.

Dari segi keuntungan politik, nampaknya bagi PAS yang bersama dalam Pakatan Rakyat seharusnya gembira kerana kemarahan bukan Melayu terhadap Umno akan menggelapkan masa depan BN. Namun sebagai pendokong perjuangan Islam tentulah kita merasa dukacita kerana angkara sikap Umno itu, wajah Islam menjadi ‘buruk’.

Sebagai wakil rakyat mungkin Teo Nie Ching ada sekelumit agenda politik di sebalik sumbangannya untuk membina pagar surau. Sekurang-kurangnya supaya dia terus dipilih sebagai wakil rakyat untuk penggal akan datang. Bagaimana pun yang pasti ialah kehadirannya ke dalam surau bukan kerana agenda jahatnya untuk menghina institusi keIslaman seperti yang digambarkan oleh media talibarut BN. Beliau benar-benar tidak tahu, termasuklah keperluan untuk menutup aurat dengan sempurna mungkin kerana yakin bahawa ‘penutupan aurat’ isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor itu sudah mencukupi.

Teo Nie Ching telah meminta kepastian sebanyak dua kali sama ada dia boleh memasuki surau. Beliau yakin bahawa tiada tegahan apabila pihak jawatankuasa membenarkan. Jawatankuasa pun bukan jahil kerana Majlis Fatwa Kebangsaan membenarkan. Majlis fatwa pun bukan jahil kerana Rasulullah SAW pernah membenarkan bukan Islam memasuki masjid.

Jika ada pendapat yang sebaliknya, ia tertaktuk kepada ijtihad yang luas di dalam Islam. Macam amalan talqin, tahlil arwah, perarakan Maulid dan lain-lain; ada yang menggalakkan dan ada yang mengharamkan.

Malangnya perkara khilaf itu yang dipegang dengan kukuh oleh Umno untuk membelasah bukan Islam yang tidak tahu apa-apa. Beginikah sewajarnya akhlak orang Islam yang hendak dipamerkan kepada non Muslim – kasar, perungus, dendam kesumat, tiada toleransi dan menghukum sijahil sewenang-wenangnya?

Perkasa sebagai ‘anak syarikat’ Umno bertindak lebih bebal dengan mendesak jawatankuasa surau memulangkan wang sumbangan kepada Teo Nie Ching dan pihak Perkasa akan menggantikan sumbangan tersebut. Lihatlah buruknya perilaku mereka. Masyarakat bukat Islam yang belum memahami Islam pasti akan lebih menjauhkan diri kalau inilah gambaran ‘Islam’ yang mereka terima.

Semua itu berlaku apabila Umno meletakkan matlamat politik mereka lebih tinggi dari kepentingan Islam. Upacara (kononnya) pembelaan terhadap Islam yang mereka lakukan langsung tidak ikhlas. Zaman era maklumat bergerak dengan pantas, setiap isu yang dilontarkan dijawab dengan pantas juga. Apabila terdapat dakwaan khatib berdoa untuk Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat, maklumat dalam talian menyiarkan program Umno mengadakan bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk Kamalanathan di Hulu Selangor.

Selepas media talibarut BN menyiarkan isu Teo Nie Ching memasuki surau dengan tidak menutup aurat, media-media di talian menyiarkan gambar Rosmah Mansor berucap dalam surau tanpa menutup aurat di hadapan ramai wanita yang turut tidak menutup aurat. Begitu juga penyiaran klip video program maksiat yang dianjurkan oleh Umno dalam sebuah surau disebarkan secara meluas melalui internet. Bila terkena batang hidung, Umno membisu seribu bahasa.

Paling menyampah ialah sikap ulamak-ulamak pro Umno yang terkinja-kinja menyalak apabila kesalahan semacam berpihak kepada lawan BN tetapi menyepi apabila pemimpin Umno melakukan kesalahan yang sama. Mereka nampaknya membuang watak sebagai pendakwah sebaliknya lebih memegang watak pencela terhadap golongan yang belum Islam.

Jika Umno sedang ghairah ‘menghodohkan’ wajah Islam di bumi satu Malaysia ini, maka ulamak pro Umno pula kelihatan menyempurnakan kerja tersebut. Pandai-pandailah mereka mejawab di hadapan Allah di akhirat kelak.

DD


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...