Oleh Muhammad Hafizuddin
Di saat menyambut kemenangan Barisan Nasional di DUN Tenang, pada masa yang sama kerajaan sekali lagi menaikkan harga minyak petrol RON 97. Kemenangan diraikan sehingga melupakan rakyat lebih kurang 11,000 orang yang berada dalam trauma dan ketakutan di Mesir akibat daripada rusuhan rakyat Mesir memprotes kerajaan Husni Mubarak.
Kelembapan Kerajaan Malaysia bertindak untuk menyelamatkan rakyat Malaysia di Mesir mendapat kritikan yang hebat daripada pelbagai pihak khususnya ibu bada serta kaum keluarga mahasiswa-mahasiswa yang sedang melanjutkan pelajaran di Bumi Anbiya tersebut. Hal ini dilihat bertentangan dengan prinsip "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".
Kerajaan korupsi Malaysia telah memperlihatkan kekejaman mereka apabila cuba mengaburkan mata rakyat dengan meletakkan keadaan di Mesir sebagai masih selamat. Retorik kerajaan Najib Rajak semakin kritikal apabila menyatakan bahawa membawa pulang rakyat Malaysia di Mesir tidak menjadi keperluan.
Di kala rakyat sangat memerlukan pertolongan dan mendambakan bantuan, Kerajaan China berusaha menghantar beberapa buah pesawat penerbangan untuk membawa pulang rakyat China yang berada di sana. Jepun pula telah menyewa pesawat bagi membawa 500 rakyatnya yang terkandas di Kaherah untuk diterbangkan ke Rom. Manakala Greece pula telah bersedia dengan 2 buah pesawat tentera untuk mengeluarkan rakyatnya dari bumi Mesir. Begitu juga dengan Iraq dan Jerman yang mengambil tindakan cepat untuk menyelamatkan rakyat masing-masing.
Setelah keadaan semakin meruncing, barulah Kerajaan Malaysia mengambil inisiatif untuk menghantar pasukan TUDM ke Mesir untuk memindahkan rakyat Malaysia ke beberapa buah negara terdekat. Kebimbangannya sekarang, keterjaminan keselamatan berada di negara sekitar Mesir masih boleh dipertikaikan. Kerajaan Malaysia diseru untuk berusaha keras membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Mesir. Desakan ini dibuat demi nyawa sahabat-sahabat serta kaum kerabat yang berstatus warganegara Malaysia. Biarpun habis berjuta-juta Ringgit Malaysia, satu nyawa pun tidak mungkin dapat digantikan.
Keselamatan rakyat adalah menjadi amanah dan tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk dijaga. Tiada guna kebanggaan memenangi hati rakyat diagung-agungkan andai rakyat di negara orang berada dalam risiko kehilangan nyawa.
Diharap Kerajaan Malaysia mempunyai nilai kasih sayang yang sangat tinggi untuk bersungguh-sungguh demi menyelamatkan rakyat Malaysia yang berhadapan dengan risiko yang sangat tinggi di bumi Mesir. Doa berterusan serta solat hajat jangan sekali-kali ditinggalkan memohon perlindungan hakiki daripada Allah Taala.
WE UNITE FOR ISLAM
Muhammad Hafizuddin Bin Muhamed Noor
Mahasiswa UIAM
*Mempunyai 2 orang adik yang melanjutkan pelajaran di Mesir
DD
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...