Jumaat, Februari 25, 2011

JANGAN MINUM MACAM HAIWAN

Elak Minum Berdiri dan Gopoh

17 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

RASULULLAH saw bersabda maksudnya: Jangan minum terus-menerus seperti cara haiwan minum. Tetapi minumlah dua teguk, dua teguk dan tiga teguk, tiga teguk. Dan bacalah Bismillah apabila kamu minum dan baca Alhamdulillah apabila selesai meminumnya. (Hadis riwayat Imam At-Tarmizi

Islam menyediakan panduan dan adab kepada umatnya ketika minum supaya mereka selesa dengan perbuatan itu dan menjauhi mereka daripada perkara buruk.

Minum secara gopoh akan boleh membuatkan seseorang itu tersedak. Oleh itu, adalah baik minum secara tidak berterusan supaya air boleh masuk ke dalam badan dengan lebih sempurna.

Begitu dengan adab membaca Bismillah supaya kita dijauhi daripada sebarang bencana atau musibah yang terkandung dalam air yang hendak diminum itu. Kita juga patut bersyukur dengan mengucapkan Alhamdulillah kerana diberikan rezeki dan dapat minum dengan sempurna.

Islam juga menasihatkan umatnya daripada meminum air dalam tempat simpan seperti teko atau cerek dan sebagainya. Makruh meniup ke dalam air yang akan diminum sama ada air itu panas atau sebagainya. Ini menunjukkan Islam mementingkan kesihatan bagi umatnya dan mengajar supaya mereka tidak tergopoh-gapah untuk minum sehingga tiada kesabaran menunggu dan ! menanti air itu sejuk terlebih dulu.

Islam juga menegah umatnya minum atau makan sambil berdiri. Ini ditegaskan dalam hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: Janganlah sekali-kali seseorang daripada kamu membiasakan minum berdiri. Siapa yang terlupa hendaklah dia memuntahkan kembali minuman itu.

Gopoh - amalan syaitan

SATU daripada penyakit kalbu yang berbahaya dan boleh menjatuhkan manusia ke jurang maksiat dan boleh meluputkan pahala segala kebajikan ialah tindakan bergopoh-gapah (isti'jal). Mengikut Imam al-Gazali, gopoh-gapah merupakan penyakit kalbu yang mendesak seseorang agar segera mengerjakan sesuatu urusan sebaik-baik sahaja terlintas di hati, tanpa perancangan dan pertimbangan terlebih dulu. Urusan itu lalu dikerjakan dengan terburu-buru nafsu. Khususnya dalam berbuat amal kebajikan, ada orang yang ingin segera mencapai martabat yang tinggi, lalu dengan tergopoh-gapah mengerjakan ibadat supaya segera mencapai hajatnya itu. Orang yang bergopoh-gapah seperti itu hanya akan bersungguh-sungguh mengerjakan ibadatnya pada peringkat awalnya saja. Apabila hajatnya, matlamat ibadatnya, tidak tercapai dalam masa yang singkat, dia mudah menjadi lemah dan terus kecewa, lantas dia meninggalkan kesungguhannya itu. Kesungguhan dan kegopohannya itu menyebabkan dia kepenatan dan tidak terdaya lagi hendak meneruskan ibadatnya. Sudahnya, kerja ibadatnya terbengkalai dan cita-cita ingin mencapai martabat idamannya itu luput dengan begitu saja. Dalam keadaan bergopog-gapah, kerapkali seseorang itu melakukan kesilapan sampai melakukan kerja di luar kebajikan pula atau menyeleweng dari syariat.

Umpamanya, jika berbicara, akan tergelincirlah lidah menuturkan kata-kata yang keji atau sia-sia. Jika makan atau minum, akan termakan atau terminum secara berlebihan atau pun makanan dan minuman yang haram atau syubahat menjadi pilihan. Mendoakan keburukan untuk diri sendiri atau untuk orang lain juga termasuk dalam penyakit bergopoh-gapah, sebagaimana firman Allah yang mafhumnya: "Dan manusia mendoakan kehajatan sebagaimana dia mendoakan kebaikan dan adalah manusia itu bersifat gopoh-gapah" (al-Isra' : 11) Dalam keadaan tertentu, memang ada orang yang mendoakan keburukan untuk orang lain. Umpamanya, seseorang yang dizalimi akan membanyakkan doa supaya penzalim yang berkenaan mendapat pembalasan segera daripada Allah. Jika doanya itu dimakbulkan, tentulah hatinya berasa senang dan puas, tetapi dia dikira telah melakukan kerja maksiat kerana tindakannya itu.

Lawan "gopoh-gapah" itu ialah "anaah", iaitu ciri kalbu yang membimbing seseorang supaya berlambatan dan tenang, penuh hemat atau berhati-hati mengerjakan sesuatu urusan, yakni terlebih dulu dikaji-selidik, dibuat perancangan dan pertimbangan yang saksama dan berpandangan jauh dengan membuat andaian-andaian tentang kemungkinan akan berlakunya keburukan atau risiko, lalu lebih dulu dirancang cara-cara mengatasinya.

Keadaan yang demikian adalah merupakan ciri-ciri asas sifat warak. Sifat warak ini penting kerana pokok kepada ibadat itu ialah warak iaitu berhati-hati dan teliti dalam tindakan, penuh hemat dalam membuat pertimbangan terhadapa segala urusan. Jika sebaliknya, maka itulah yang dikatakan: Apabila berbicara, pembicaraannya akan tergelincir daripada kebenaran. Apabila makan, akan termakan makanan yang haram atau syubahat. Demikianlah juga dalam urusan yang lain. Dengan yang demikian, maka luputlah sifat waraknya. Amalan atau ibadat tanpa warak tidak akan menghasilkan kebajikan.

Menurut Imam al-Ghazali : Sifat anaah itu merangkumi dua prinsip, iaitu tawaqquf dan taanni. Maksud tawaqquf ialah terlebih dahulu menyelidiki sesuatu urusan sebelum memulakan pelaksaannya sehingga ternyata kebenaran dan kebaikannya, manakala taanni bermaksud, berhati-hati-hati pada permulaan dan semasa melaksana sesuatu urusan supaya berjalan dengan lancar dan sewajaranya, sehingga tercapai matlamat. Tindakan berhati-hati dalam beribadat dan menangani segala urusan (mengikut konsep anaah) itu amat dituntut, manakala tergesa-gesa atau tergopoh-gapah (al-'ajalah) itu ditegah.

Rasulullah bersabda, maksudnya: "Tergopoh-gapah itu tindakan syaitan kecuali dalam lima perkara, iaitu mengawinkan anak perawan, membayar hutang, menguruskan mayat, melayani tetamu dan bertaubat daripada dosa".

idhamlim

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

1 ulasan:

  1. knp melayu selalu sebut kalau?
    sbb perkataan "lau" membuka pintu2 syaitan.

    //petikan dari ceramah dato ismail kamus;)

    BalasPadam

Sendiri mau ingat...