Sabtu, April 16, 2011
Altantuya - Pengakuan RPK Zahirkan Keperluan RCI, Kata Fariz Musa
SHAH ALAM 15 APRIL: Pendedahan pengarang laman blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu hanya menzahirkan keperluan sebuah Suruhanjaya DiRaja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat pembunuhan warga Mongolia itu, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fariz Musa.
Raja Petra membuat pengakuan bersumpah memperolehi maklumat bahawa seorang pegawai kanan risikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai laporan mensabitkan isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor hadir di tempat Altantuya mati di bom pada Oktober 2006.
Kenyataan bersumpah (SD) itu dibuat pada Jun 2008 dan Raja Petra mengutarakannya dalam wawancara yang disiarkan oleh Tv3 dua hari lalu.
Fariz Musa menyifatkan penubuhan suruhanjaya itu perlu kerana terlalu banyak percanggahan fakta sehingga mengelirukan masyarakat di negara ini.
" Kita melihat percanggahan itu yang menimbulkan persepsi dan persoalan sehingga sekarang tidak dapat dijawab dengan begitu terperinci, tetapi banyak kenyataan lain yang keluar.
" Semestinya rakyat akan lebih keliru dengan perkara-perkara yang berlaku sejak akhir ini. Bagi saya satu suruhanjaya yang profesional dan telus harus dibentuk dengan segera bagi menyiasat perkara ini," katanya ketika dihubungi Tv Selangor petang tadi.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin hari ini menafikan pegawai ATM terbabit, Kolonel Azmi Zainal Abidin mempunyai laporan risikan mengenai pembunuhan Altantuya yang melibatkan Rosmah.
Justeru Azizan menjelaskan kenyataan Azmi itu bersifat peribadi dan palsu. Azmi kini digantung tugas sementara menunggu hasil siasatan bersabit dakwaan RPK itu.
Fariz berkata menambah, sebuah RCI boleh merungkai persoalan siapa yang memberi arahan untuk anggota Unit Tindakan Khas (UTK) membunuh Altantuya menggunakan bomb C4.
" Siasatan ini harus dibuat dengan lebih terperinci. Tidak seharusnya selesai dengan hanya tindakan yang diambil terhadap Sirul dan Azilah, tetapi satu suruhanjaya yang lebih jelas untuk menyiasat perkara ini lebih terperinci bagaimana penglibatan Najib Razak dalam pembunuhan Altantuya," tambahnya.
Bekas penasihat kepada Najib, Abdul Razak Baginda yang dituduh bersubahat dengan pembunuhan itu walaubagaimana pun dilepaskan.
Sebaliknya dua anggota polis, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar disabit membunuh Altantuya dan dihukum gantung.
Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah dan memberitahu mahkamah mereka dijadikan "kambing hitam' oleh pihak yang mendalangi pembunuhan itu.TVS
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...