Ahad, April 03, 2011

Dimanakah keutamaan anda, wahai pemimpin politik?

Oleh Markus Lim

Senario politik di Malaysia nampaknya tidak pernah sunyi daripada dilanda kontroversi. Kontroversi yang dicetuskan oleh si pelaku dan dalam konteks ini, pemimpin politik semakin hari semakin menjadi-jadi hinggakan ada yang mula mempertikaikan kebenaran disebalik kesemua kontroversi yang dicetuskan itu.


Ramai yang menggeleng-gelengkan kepala tanda meluat dan amarah mereka terhadap pergolakan politik negara yang ketika ini bertumpu kepada skandal liwat 1, liwat 2 dan terbaru pula seks video membabitkan seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur.

Individu yang menjadi tumpuan utama ketika ini sudah tentulah Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau dikatakan mirip orang yang dimaksudkan dalam video seks itu. Persoalan sama ada pemimpin berkenaan terbabit dalam amalan yang terkutuk bukan hak saya untuk menentukannya tetapi pihak polis untuk membuat siasatan.

Tetapi apa yang melucukan dalam perkembangan terbaru ini adalah kesanggupan ramai pemimpin politik yang tidak sepatutnya kena-mengena dengan skandal itu untuk tampil ke hadapan memberi kenyataan.  Tak kurang juga yang memberikan penghakiman awal-awal lagi bahawa pemimpin itu dan ini perlu dihukum seolah-olah mereka sudah tahu segala-galanya.

Kumpulan pemimpin sedemikian begitu ghairah untuk menjawab pertanyaan yang diajukan oleh para wartawan.  Yang pastinya, kepenatan tidak pula kelihatan pada air muka mereka.

Alangkah baiknya jika setiap pemimpin politik di negara kita bersikap sedemikian. Bermakna rakyat tidak perlu berdemonstrasi atau pergi ke pusat khidmat wakil rakyat untuk merayu bantuan daripada Ahli Parlimen mereka.

Tahap penumpuan dan iltizam pemimpin-pemimpin politik ini terhadap skandal seks yang cukup panas ini wajar dipuji dan diberi perhatian serius. Perwatakan inilah yang kita mahukan daripada seorang Ahli Parlimen, seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

Bagaimanapun,  tumpuan yang saya maksudkan itu bukanlah tumpuan kepada skandal seks tetapi kepada usaha meneruskan pembelaan rakyat tanpa mengira kaum dan masa. Apa yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin politik kita nampaknya tidak kena pada tempat dan masanya.

Ketika Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhempas-pulas mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk bertemu dengan rakyat, ada segelintir pemimpin berkepentingan pula memilih untuk tidak mengendahkannya.

Seks dan percaturan politik kejam bagaikan satu resipi yang dimestikan untuk mematikan musuh politik mereka walau dengan apa cara sekalipun. Pendek kata, matlamat menghalalkan cara seperti yang dianjurkan oleh Niccolo Machiavelli. Dunia politik seolah-olah tidak dapat hidup tanpa elemen-elemen tadi.

Adanya elemen-elemen tadi menjadikan sesuatu episod atau plot politik yang dicanangkan itu lebih menarik, mendebarkan dan suspen. Namun dengan bersikap sedemikian rupa, bukan sahaja pemimpin politik yang kita sering panggil sebagai Yang Berhormat telah mengkhianati amanah rakyat yang diletakkan pada mereka bahkan juga undi rakyat sebenarnya tidak perlu untuk mereka terus berkuasa.

Tidak usah sampai ke peringkat itu, wahai YB sekalian! Laksanakanlah tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat dengan sebaik mungkin. Bersikaplah sebagai seorang pemimpin politik yang gentleman dan bersih. Ingat, jawatan yang disandang sekarang bukanlah milik anda segala-galanya tetapi sekadar pinjaman sementara di muka bumi.

Biarpun rakyat tidak begitu mengerti apakah yang sedang berlaku dalam skandal-skandal politik semasa, tetapi apa yang pasti gerak-geri pemimpin tetap diperhatikan dengan rapi.

Reaksi mungkin tidak berbangkit sekarang namun senario yang serupa tidak boleh diperkatakan ketika di peti undi nanti.  Sebagai seorang penjawat awam yang profesional, tunjukkan dan buktikan kepada yang lain bahawa pemimpin politik negara kita adalah profesional.

Justeru, apabila masa untuk seseorang pemimpin politik memberi kenyataan, barulah berbuat demikian. Bukannya memberi komen semata-mata untuk menagih publisiti ataupun mempunyai motif untuk membalas dendam terhadap seteru politik yang dibencinya.

Apa yang berlaku selama ini membabitkan pemimpin politik adalah kebanyakan daripada mereka, jika pun bukan semua yang memberikan keutamaan yang salah dalam tindak-tanduknya.

Ketika ini, Malaysia menjadi bahan ketawa kepada masyarakat di peringkat antarabangsa. Daripada menggembleng tenaga membangunkan negara, perkara-perkara yang kurang penting jadi keutamaan.

Jika trend ini berlarutan, perasaan hormat rakyat terhadap pemimpin politik akan semakin terhakis. Mungkin selepas ini, tiada lagi rakyat yang berminat untuk menjadi seorang pemimpin politik yang ikhlas dan bersih melainkan mereka yang hanya berminat menyertainya kerana duit!

Hentikanlah segala karut-marut yang berlaku sekarang!



DD

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...