Sabtu, Mei 21, 2011

Beranikah Najib sebut subsidi adalah candu kepada tauke IPP?


Anwar membidas kerajaan Umno BN yang membela tauke IPP tapi menekan rakyat marhaen.

KUALA LUMPUR: “Subsidi adalah candu pada rakyat, ‘tauke-tauke’ besar bagaimana?“Kepada orang kampung dan rakyat miskin, kamu katakan subsidi itu candu. Tetapi, adakah Najib akan berani mengatakan perkara yang sama kepada ‘tauke-tauke’ besar IPP?


“Ada Datuk Najib berani untuk panggil YTL, Genting Sanyen, Malakoff dan Ananda Krishnan – kamu ini ketagih ‘candu? Tidak. Itulah sebabnya mereka marah sangat dan terus serang kita.


Demikian antara ucapan Ketua Umum KEADILAN itudi hadapan ratusan hadirin yang melimpah sehingga ke luar dewan pada siri program Jelajah Selangor (Jelas) di Dewan Orang Ramai Kampung Cheras Baru, malam tadi.


Anwar merujuk kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang melabel subsidi adalah satu bentuk candu, baru-baru ini.




Suasana perkarangan dewan seperti pesta dengan deretan puluhan gerai dan warung pasang siap, sekali pun program yang dimulakan dalam suasana hujan renyai.




Antara pimpinan KEADILAN yang hadir termasuk, Ahli Biro Politik, Datuk Chua Jui Meng, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, Pengarah Strategi, Rafizi Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Muda, Shuhaimi Shafiee.





Rakyat terus memberi perhatian terhadap penerangan Anwar yang berkait rapat dengan kehidupan mereka


Meneruskan ucapannya, Anwar menyelar sikap kerajaan Umno-BN yang sentiasa berpihak kepada kroni perniagaan yang kaya, dalam masa yang sama meminggirkan jutaan rakyat terbanyak melalui pembikinan dasar yang tidak pro-rakyat.





“Kalau rakyat itu miskin, pendapatan rendah, merempat, duduk di kampung-kampung, adalah menjadi tanggungjawab dan amanah kerajaan untuk menjaga dan membantu kebajikan mereka.




“Dalam sejarah, tidak pernah ‘tauke-tauke’ ini kalah. Yang kalah ialah rakyat. Sebab itu saya tak setuju dengan cara ini,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.




Dalam pada itu, Anwar bertegas bahawa persoalan kemiskinan dan kemunduran orang Melayu tidak akan selesai sama ada dirinya dipenjara, berikutan pelbagai percubaan oleh lawan politik termasuk dakwaan kes yang kini dihadapinya di mahkamah.




“Adakah dengan memasukkan Anwar dalam penjara, akan selesai masalah kemiskinan orang Melayu? Dah masuk pun 6 tahun, tak selesai juga. Bahkan, rasuah makin banyak,” kata Anwar.




Beliau mencabar pimpinan Umno-BN untuk bertanya kepada rakyat Malaysia sama ada gejala rasuah dan penyelewengan tidak wujud di Malaysia.




Dalam pada itu beliau menambah, beban sebenar rakyat cuba dialihkan oleh media kawalan Umno-BN melalui pelbagai fitnah rekaan untuk menyerang peribadi, malahan fizikal ahli keluarganya.




“Oleh sebab tak boleh ‘patahkan’ Anwar, maka mereka mahu ‘patahkan’ Azizah, Nurul Izzah malahan cucu saya juga diancam. Seolah-olah nyawa kami ini tidak berharga kepada mereka.




“Saya ini menjadi ‘public enemy’ nombor satu kepada mereka. Jika lenyap, lebih senang,” dedahnya memperingatkan hadirin mengenai percubaan ancaman dan ugutan terhadap keluarganya kebelakangan ini.




“Tapi kalau kamu ingat kami akan lemah, maka kamu silap kerana Insya Allah, ujian ini akan memperkuatkan kita,” kata Anwar dengan bersemangat disambut sorakan ribuan hadirin.




Justeru, Anwar bertegas bahawa sisa hidupnya yang masih tinggal akan didedikasikan untuk meneruskan perjuangan menegakkan keadilan.




“Yang pertama, kita kena sabar. Jangan fikirkan untuk membalas dendam kepada orang lain. Anak muda terutamanya perlu memastikan matlamat perjuangan, benci kepada kezaliman, pengkhianatan dan mahu membela nasib rakyat.




“Siapa yang tidak terguris perasaan apabila melihatkan isteri, anak dan cucu menjadi mainan mereka? Tetapi kita yakin, bahawa kemenangan yang diperolehi dalam pilihan raya akan datang pasti menyelamatkan negara kita,” jelas Anwar.




Beliau berpesan kepada jentera KEADILAN untuk mempergiat penerangan, terutamanya penyebaran maklumat dan tawaran Pakatan Rakyat seperti yang terkandung di dalam Buku Jingga.




“Rakyat kena bangkit. Walau bagaimana susah sekali pun, kita jangan mengaku kalah,” jelasnya.



KD


SUDAHKAH ANDA MENGUNDI? KALAU BELUM,SILA UNDI BIAQPILA SEKARANG...SEKALI-SEKALA,APA ADA HAL KAN?
GUA MEMERLUKAN RAMAI PENGUNDI HANTU BAGI MEMENANGI PILIHANRAYA INI... KAH!KAH!KAH!KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...