Isnin, Mei 09, 2011

Umno terdesak raih sokongan Melayu-Islam


KUALA LUMPUR: Umno cuba mencetuskan ketegangan agama dan kaum dengan menjadikan media mereka, Utusan Malaysia bagi menyebar propaganda murahan, kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (Bippa) KEADILAN, Ahmad Kassim.
Katanya, laporan Utusan menyiarkan berita yang mengundang sensitiviti kaum dan agama, dilakukan bagi mengalih perhatian rakyat, di saat Umno semakin kehilangan sokongan orang Melayu-Islam.
“Tindakan ini menunjukkan betapa terdesaknya Umno-BN untuk meraih sokongan orang Melayu-Islam hingga terpaksa membuat propaganda murahan, setelah tidak yakin akan mendapat undi daripada masyarakat Cina dan masyarakat minoriti lain.
“Motifnya adalah sama, iaitu cuba menarik semaksimum mungkin sokongan orang Melayu kepada Barisan Nasional,” katanya kepada Keadilandaily.com.
Utusan dalam laporannya, mendakwa wujud usaha menjadikan kristian sebagai agama rasmi, dengan mengheret nama pimpinan Dap dalam dakwaan itu.
Ia mendapat kecaman keras Dap dan pimpinan Pakatan Rakyat yang menyifatkan berita itu berunsur fitnah dan berniat jahat.
Menurut Ahmad Kassim, sentimen kebencian kaum dan agama itu kemudian disemarakkan lagi oleh pertubuhan rasis seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa, yang mengapi-apikan kemarahan orang Melayu.
“Ini merupakan tindakan lanjut berikutan kegagalan pertubuhan Perkasa yang sebelum itu kononnya mahu menghimpunkan 30,000 orang Melayu di Kedah, dua minggu lalu. Walaupun dengan kehadiran penasihatnya Tun Dr Mahathir, mereka tidak mampu mengumpul lebih dari 2,000 orang pun, katanya.
“Mereka inilah sebenarnya yang menjadi pengkhianat apabila cuba mencetuskan ketegangan. Namun saya yakin rakyat Malaysia tidak mudah diperbodohkan,” katanya kepada Keadilandaily.
Oleh kerana itu, katanya, Umno cuba memberikan gambaran Pakatan Rakyat mengenepikan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia.
Sedangkan, Pakatan Rakyat, katanya sejak dulu tegas mempertahankan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi seperti mana yang terkandung dalam perlembagaan negara.
“Secara jelas dan didokumenkan, jaminan Pakatan Rakyat untuk mempertahankan perkara asas di dalam perlembagaan Malaysia iaitu kedaulatan Institusi Diraja, agama Islam sebagai agama rasmi, hak keistimewaan orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dipertikai,” ujarnya.
Tambah beliau, selepas meniup api kebencian yang berupaya mencetuskan pertelagahan kaum dan agama, Umno cuba berlagak hero untuk menjernihkan keadaan.
Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini yang meminta semua pihak bertenang dan tidak mengekploitasi isu agama itu.
“Selepas memanaskan negara dengan isu yang menegangkan perhubungan antara kaum atau pun penganut sesuatu agama dengan yang lain, mereka cuba berlagak sebagai hero bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Ini adalah langkah terakhir oleh pihak yang menggelabah dan panik,” katanya.

KD

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...