Rabu, Jun 15, 2011

Kalaulah Tony Blair pemimpin DAP



Oleh Mohd Nasir Awang

Mujur benar bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair bukan warga negara ini. Jika tidak, besar kemungkinan beliau kini menjadi bahan cemuhan dan balunan para pejuang dan penjuak parti Melayu seantero Malaysia.

Akan bertalu-talu kecaman dan luah rasa tidak puas hati terhadapnya kerana dianggap menghina al-Quran dan memperalatkan kitab suci itu demi agenda politiknya.

Namun Blair terlepas dari menjadi fokus polemik sedemikian. Dia bukan pemimpin atau ahli mana-mana parti politik di Malaysia.
Lebih bernasib baik lagi, dia juga bukan pemimpin pembangkang yang terpaksa berdepan dengan karenah dan gelagat para pemimpin sebuah parti pemerintah negara yang rata-rata berfikiran sempit, kolot dan gemar memberi nilaian negatif terhadap apa juga dilakukan parti lawan.

Disebabkan tiada kaitan dengan Malaysia, maka kegemaran terbaru bekas pemimpin sekutu kuasa besar dunia itu tidak tertakluk kepada penafsiran buruk dan sembrono sejumlah pemimpin Melayu negara ini, khususnya yang bergelar pemimpin Umno dan kalangan yang sealiran pemikiran dengan mereka.

Beberapa media cetak hari ini (Selasa) melaporkan pendedahan terbaru Blair bahawa beliau membaca al-Quran setiap hari. Pemimpin Parti Buruh itu dipetik sebagai mengakui membaca kitab suci umat Islam itu bagi memastikan kefahamannya terhadap agama itu terus kukuh.

“Saya membaca al-Quran setiap hari. Sebahagiannya untuk memahami perkara yang berlaku di dunia, tetapi paling penting kitab ini sangat penuh dengan maklumat dan boleh menjadi sumber rujukan,” laporan itu memetik wawancara beliau dengan majalah Observer, edisi Ahad.

Bagi kita yang mengutamakan dakwah dan penyuburan kefahaman Islam di kalangan masyarakat dunia, kesediaan individu bukan Islam membaca dan mendalami isi kandungan al-Quran adalah perkembangan yang amat membanggakan lagi dialukan.

Lagi pun, sejak sekian lama kita sering didedahkan dengan kisah sebilangan tokoh dan sarjana terkemuka dunia yang akhirnya memeluk Islam selepas mendekatkan diri mereka kepada isi kandungan al-Quran. Umpamanya, kisah bagaimana Muhammad Assad (penulis tafsir al-Quran), Margaret Marcus @ Maryam Jameelah, Maurice Bucaille dan Lew Alcindor @ Kareem Abdul Jabbar menemui hidayah banyak dikaitkan dengan penelitian mereka terhadap keindahan khazanah tersimpan di dalam kitab suci itu.

Namun, sepertimana dibuktikan sebelum ini, tidak semua orang Melayu di negara kita (baca ‘orang Umno’) dapat menerima perkembangan sebegitu secara positif. Semacam ada peraturan dan persepsi umum bahawa menjadi pantang larang yang sangat besar bagi orang bukan Islam Malaysia membaca al-Quran.

Sejauh manakah fahaman sedemikian bertepatan dengan ajaran Islam tidak pula diperjelaskan. Namun setidaknya itulah persepsi yang telah terbentuk dalam masyarakat negara kita, terutama selepas berlakunya polemik agak panjang mengenai isu berkenaan dua tahun lalu.

Isu itu bermula dari tindakan berani seorang Ahli Parlimen DAP (bukan Islam) di Perak membacakan sepotong ayat al-Quran dalam ceramahnya semasa kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang, April 2009.

Kegagalannya menyebut ayat itu dengan makhraj bahasa Arab yang betul dijadikan hujah kononnya dia telah mempersendakan ayat al-Quran. Ada juga yang mempersoalkan niat sebenar pemimpin itu, kononnya bertujuan memperalatkan ayat suci bagi kepentingan politik.

Apatah lagi dalam ucapannya itu pemimpin DAP terbabit memang menujukan ayat tersebut kepada para pemimpin Melayu. Beliau malah secara jelas menyeru agar orang Islam benar-benar menghayati maksud ayat tersebut, yang antara lain memerintahkan mereka berlaku adil dan ihsan kepada sesama manusia.

Sudah tentu perlakuan sedemikian menjadi tamparan buat para pemimpin politik Islam, terutama sekiranya mereka sendiri amat jarang merujuk ayat al-Quran dalam ucapan mereka. Apabila seorang bukan Islam bersedia mempelajari al-Quran kemudian menjadikannya sandaran hujah dalam mengingatkan umat Islam, ia tidak syak lagi suatu yang mengaibkan umat Islam sendiri.

Ekoran insiden itu, beberapa pihak sealiran dengan parti pemerintah negara terus membantah. Bahkan ada yang tanpa tangguh membuat laporan polis, kononnya sebagai tanda tersangat prihatin terhadap kesucian al-Quran.

Beberapa tokoh agama juga disorot pandangan mereka. Bagai diduga, ulasan mereka memang bertepatan dengan aspirasi dikehendaki Umno. Secara mudah mereka menghukum (semata-mata berdasarkan apa yang dilaporkan media kroni Umno) bahawa apa yang dibuat pemimpin DAP itu suatu persendaan terhadap ayat al-Quran.

Ada mufti malah mempersoalkan apa hak pemimpin bukan Islam itu membaca ayat al-Quran dalam ceramahnya sedangkan dia sendiri tidak beriman kepada Islam?

Malah ada yang memanjangkan pertikaian itu dengan menghujah bahawa orang bukan Islam tidak sepatutnya dibenarkan menjamah naskhah al-Quran kerana jasmani mereka disifatkan tidak suci di sisi Islam.

Justeru, oleh kerana rakan utama DAP dalam pakatan pembangkang ialah PAS, apa juga dilakukan pemimpin parti bermajoriti kaum Cina itu dibahasakan sebagai mendapat restu rakan mereka dalam PAS.

Tidak pasal-pasal para pemimpin PAS, terutama kalangan ulama turut diganyang. Mereka disifatkan membisu dan takut menegur keterlanjuran pemimpin DAP, semata-mata kerana mahu menjaga persahabatan. Pemimpin PAS dianggap dayus dan sanggup menggadai kesucian Islam kerana membiarkan pemimpin DAP menyentuh dan membaca al-Quran.

Itulah kefahaman yang secara terbuka dilontarkan ke tengah masyarakat. Bahawa orang bukan Islam tidak sewajarnya dibenarkan membaca kitab suci umat Islam. Juara menjulang ‘isyarat salah’ ialah para pemimpin Umno. Isu itu pula sengaja dipolemikkan media talibarut parti itu.

Sebab itu kita mengandaikan sekiranya Blair rakyat negara ini dan terlibat di pentas politik Malaysia, lebih-lebih lagi sebagai pemimpin pembangkang, sudah tentu dia tidak akan terlepas dari menjadi bahan serangan serupa.

Kalau sekadar membaca sepotong ayat suci oleh pemimpin DAP itu pun sudah dicemuh sebagai menghina dan mempersenda al-Quran, inikan pula menjamah, membelek dan menatapnya setiap hari?

Niat Blair mendalami al-Quran siang-siang lagi akan dianggap sebagai mempersenda dan memperalatkan kitab suci itu. Apatah lagi beliau mengakui pengetahuan mengenai Islam diperolehinya dari al-Quran membantunya melaksanakan tugas sebagai duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia ke Timur Tengah.

Blair diutus dalam usaha kuartet itu menyelesaikan konflik Israel-Palestin. Lalu dapat kita telah bahawa beliau akan dipersoal dan dianggap cuba mempersenda al-Quran kerana atas alasan beliau membacanya bukan kerana beriman dengan firman Allah, tetapi demi kepentingan politik dan tugas duniawinya.

Lebih buruk lagi, penafsiran negatif oleh pemimpin ultra-Melayu itu boleh diperjela-jelankan dengan mengaitkan niat Blair yang mewakili ‘polis dunia’ itu atas perancangan memusuhi dan memangsakan negara-negara Islam. Maka sudah tentu tindakannya membaca dan mendalami al-Quran itu boleh dinilai sebagai sekadar memperalatkan kitab suci itu untuk berdepan umat Islam sendiri.

Tidak mustahil akan ada NGO yang membuat laporan polis terhadap Blair dan mengadakan demonstrasi membantah tindakannya itu. Bukankah itu yang semakin menjadi kelaziman di negara kita mutakhir ini?

Fahaman salah mengenai keharusan orang bukan Islam mendekati al-Quran yang ditaja Umno itu wajar diperbetulkan. Ia bertepatan dengan hasrat diluahkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di dalam ucapan dasarnya, 3 Jun lalu.

Antara lain kata Tuan Guru, “umat Melayu Islam sebagai teras politik dalam negara kita ini semakin hari semakin lemah jati diri kerana lemah kefahaman Islamnya apabila tidak menjadikan Islam agama yang memerintah dan tidak mampu menunjukkan model Islam kepada masyarakat majmuk. Maka PAS wajib menyelamat negara dan penganut Islam yang hilang punca dan membetulkan fahaman yang salah ini.

DD

SUDAHKAH ANDA MENGUNDI? KALAU BELUM,SILA UNDI BIAQPILA SEKARANG...SEKALI-SEKALA,APA ADA HAL KAN?
GUA MEMERLUKAN RAMAI PENGUNDI HANTU BAGI MEMENANGI PILIHANRAYA INI... KAH!KAH!KAH!KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...