Selasa, Jun 28, 2011

PRK Bagan Pinang, contoh jelas pilihan raya tidak bersih


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh menafikan bahawa terdapat banyak kesalahan pilihan raya berlaku disetiap kali berlakunya pilihan raya, tidak kira pilihan raya kecil mahupun umum.

Sejak beberapa pilihan raya, termasuk pada tahun 2004 dan 2008, pilihan raya di negara ini berjalan dengan parti pemerintah mendapat layanan istimewa oleh SPR.

Kebiasannya, Umno-BN akan menggunakan jentera kerajaan, pihak berkuasa dan media untuk berkempen.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Institut Integriti Pilihan Raya Nasional (NIEI) telah memantau perjalanan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang.

NIEI mendapati terdapat banyak kesalahan pilihan raya yang hingga kini tidak diendahkan SPR.

PRK Dun Bagan Pinang (N31) bermula dari hari penamaan calon pada 3 Oktober hingga 11 Oktober, Umno-BN menggunakan seluruh jentera kerajaan untuk berkempen, dakwaan ketidaktelusan undi pos, rasuah politik dan perbelanjaan wang calon melebihi had ditetapkan.


1) Ketidak telusan pengundian pos

Terdapat dakwaan bahawa senarai pengundi pos tentera yang diwartakan dan diberikan kepada calon-calon yang bertanding berbeza dari senarai pengundi pos tentera yang dipaparkan pada hari mengundi pos 8 dan 9 Oktober 2009.

Selain daripada itu, terdapat juga dakwaan bahawa terdapat pengundi-pengundi pos yang didaftarkan lebih dari satu kem serta pesara-pesara tentera masih lagi terdapat dalam daftar pengundi pos.

Lebih menyedihkan lagi, SPR langsung tidak mengendahkan syak wasangka ini dan tidak membersihkan nama mereka dan maruah sebagai badan penggendali pilihan raya tidak dipertahankan.

Dari pengalaman pemerhatian NIEI di luar negara, Thailand dan Filipina yang mengalami konflik ganas, pengundian secara normal digunakan bagi anggota tentera mereka.

Pusat pengundian yang dikendali sepenuhnya oleh SPR serta hak-hak yang sama bagi agen parti, pemantau tempatan dan pemerhati antrabangsa dibuka di dalam kem-kem tentera.

2) Rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji


Rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji masih lagi berleluasa dalam PRK Bagan Pinang. Pemberian projek-projek kerajaan kepada penduduk Bagan Pinang semasa tempoh berkempen dilakukan secara berleluasa.

Banyak kementerian-kementerian seperti Kementerian Penerangan, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna digunakan untuk memberikan “rasuah politik” kepada pengundi Bagan Pinang secara terbuka.

Selain daripada itu, penyalahgunaan jentera kerajaan turut dilakukan secara berleluasa. Kedua-dua pihak yang bertanding dilihat menyalahgunakan harta rakyat terutama kenderaan milik kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan.

Manakala Umno-BN memonopoli dewan orang ramai, sekolah, KEMAS dan JKKK sebagai markas parti.

Amalan ini adalah satu kesalahan besar kerana seharusnya harta milik kementerian, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak boleh digunakan bagi parti-parti politik yang bertanding semasa berkempen dalam pilihan raya.

Untuk memastikan pilihan raya akan datang adil kepada semua pihak yang bertanding, NIEI mencadangkan agar politik wang, janji peruntukan projek, projek kilat, penggunaan jentera negara dan kemudahan awam hendaklah dihapuskan.

Di negara-negara jiran, terutamanya Thailand, Nepal dan Taiwan amalan ini diharamkan. Kesalahan bersabit dengannya akan diambil tindakan keras, iaitu SPR-nya akan membatalkan calon bersalah daripada bertanding, atau dibatalkan kemenangan mereka.

3) Perayu undi, tukang sorak dan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik pada hari mengundi


Amalan merayu undi dan tukang sorak telah menyebabkan ketegangan berlaku pada hari mengundi. Apabila perayu-perayu undi dari kedua-dua parti politik bersaing untuk merayu undi berhampiran dengan tempat pembuangan undi, ianya menggangu pengundi-pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Selain daripada itu kemudahan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik untuk mengangkut pengundi turut menyesakkan keadaan dihadapan tempat pembuangan undi yang biasanya dilaksanakan di sekolah.

4) Perbelanjaan berkempen

Dalam PRK Bagan Pinang, dapat disimpulkan bahawa perbelanjaan yang digunakan untuk berkempen bagi calon BN, Tan Sri Isa Samad telahpun melebihi had yang ditetapkan iaitu RM 100,000 bagi calon Dun.

Menurut Seksyen 19(1) (a) dan (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya umum hendaklah berbelanja tidak melebihi had yang ditetapkan iaitu untuk calon Parlimen RM200,000 dan calon Dun RM100,000.

Akta ini harus digubal semula dan harus menyatakan bahawa ianya termasuklah kepada parti politik yang menyokong sesuatu calon tersebut.

Kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bolehlah dilakukan untuk memperketatkan lagi pemantauan perbelanjaan kempen.

NIEI berharap agar isu-isu yang dibangkitan akan diambil perhatian serius oleh SPR agar perjalanan pilihan raya di Malaysia dapat menjadi lebih baik pada masa akan datang.

warta-utara.blogspot.com

-DD


SUDAHKAH ANDA MENGUNDI? KALAU BELUM,SILA UNDI BIAQPILA SEKARANG...SEKALI-SEKALA,APA ADA HAL KAN?
GUA MEMERLUKAN RAMAI PENGUNDI HANTU BAGI MEMENANGI PILIHANRAYA INI... KAH!KAH!KAH!KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...