Jumaat, Julai 08, 2011
Adun mohon maaf kepada Wardina
PETALING JAYA: “Saya memohon maaf kepada pengacara Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot berikutan kontroversi dilemparkan kepadanya selepas menghadiri Karnival Mesra Rakyat (KMR) di Desa Mentari, di sini, 26 Jun lalu,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Kenyataan maaf itu dipetik menerusi blognya, niknazmi.com, kelmarin sejurus wakil rakyat berkenaan mengeluarkan permohonan maaf kepada Wardina ekoran tercetusnya kontroversi mengatakan selebriti itu terbabit sama dalam agenda politik.
“Sebenarnya saya mengundang Wardina menyampaikan motivasi keibubapaan kerana melihat Wardina sebagai ikon muslimah masa kini tambahan pula dia sahabat lama saya.
“Saya memohon maaf kepada Wardina memandangkan kehadirannya ke KMR menimbulkan banyak fitnah dan tuduhan. Ingin ditegaskan saya tidak berniat langsung mengundang spekulasi kepada mana-mana pihak,” katanya.
Harian Metro 30 Jun lalu melaporkan Wardina, 32, menepis tuduhan selepas dikatakan terbabit dengan politik pembangkang termasuklah menyokong perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Dalam laporan itu, Wardina menjelaskan tidak mengetahui agenda majlis berkenaan sehinggalah dia menyedari majlis itu turut dihadiri pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuklah Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali.
Nik Nazmi berkata, program mesra rakyat itu sebenarnya dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Zon 24, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Persatuan Penduduk Desa Mentari.
“Selain Wardina, ia turut dihadiri pemain bola sepak negara antaranya Safee Sali, Amri Yahyah, Razman Roslan, Asraruddin Putera Omar, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal dan penulis terkenal, Uthaya Sankar SB,” katanya.
Menurutnya, beliau juga meminta penulis blog menghentikan tindakan menyerang Wardina selain menghormati artis yang memberikan ceramah kemasyarakatan tanpa memikirkan siapa penganjurnya.
“Saya mengeluarkan kenyataan ini kerana mahu mempertahankan Wardina kerana dia tidak bersalah,” katanya.
Sementara itu, Wardina berkata, dia memaafkan Nik Nazmi mengenai kes itu, namun sedikit terkilan kerana tidak diberitahu mengenai majlis terbabit dengan terperinci.
“Saya tidak mahu memanjangkan perkara ini dan masih menanti kehadiran Nik Nazmi memberikan penjelasan mengenai salah faham itu,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, beliau akan lebih berhati-hati sekiranya menerima sebarang jemputan ceramah.
HM
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...