Isnin, Julai 18, 2011
Bayangan awal Harimau Malaya
BARISAN pemain Malaysia (jersi biru) bersalaman dengan skuad Liverpool selepas tamat aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
ANDAI dua aksi persahabatan dengan kelab Liga Perdana England, Arsenal dan Liverpool menjadi ukuran, jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal mungkin sudah ada 'resepi istimewa' yang akan dihidangkannya pada pertemuan dengan Singapura, Sabtu ini.
Meskipun tumpas 0-4 kepada Arsenal dan 3-6 kepada Liverpool, satu-satunya petanda positif yang mampu dijelmakan ialah peningkatan prestasi yang dipamerkan barisan pemain negara.
Penampilan semula penggempur berbisa, Safee Sali yang beraksi cemerlang dengan meledak dua gol ketika menentang The Reds kelmarin, sudah cukup memberi petanda positif buat pengendali negara itu betapa jentera serangan Harimau Malaya sudah mula menemui sentuhan.
Namun, jika dinilai semula aksi keseluruhan pasukan, terutama bahagian pertahanan, Rajagobal mungkin perlu lebih berusaha keras bagi mengatasi kelemahan tersebut.
Meskipun kapten Safiq Rahim berjaya memainkan peranannya dengan baik di bahagian tengah, namun apa yang pasti pergerakan bola daripada posisi pertahanan ketika membuat serangan selalu tersekat dan di pintas lawan.
BARISAN pemain Malaysia (jersi biru) bersalaman dengan skuad Liverpool selepas tamat aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
Justeru, menjelang pertemuan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 dengan Singapura, kerapuhan benteng pertahanan harus diperbaiki dengan kadar segera.
“Inilah kelemahan yang harus kita perbaiki lagi sebelum menentang Singapura,” kata Rajagobal kelmarin.
“Pertahanan kita agak kaku dan kadangkala membuat kesilapan yang tidak sepatutnya. Dalam kesemua perlawanan persahabatan ini, semua gol yang bolos adalah pemberian daripada kita.
“Tetapi bagi saya, inilah pentingnya saya mencuba semua pemain pertahanan kita supaya saya dapat melihat siapa yang kuat dari segi mental dan fizikal apabila berdepan penyerang berkelas dunia,” tambah beliau lagi.
Menurut Rajagobal, bayangan pemain utama skuad Harimau Malaya yang akan turun menentang Singapura sudah ada dalam kepalanya, cuma kecederaan tonggak pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Radzak sedikit merencatkan strateginya.
“Aidil masih belum pasti dapat diturunkan kerana cedera, tetapi saya rasa pertahanan lain seperti Azmi Muslim, Rizal (Fahmi Ab. Rosid), Farisham (Ismail), Mahali (Jasuli) dan pemain yang lain juga mampu memikul tugas masing-masing.
“Cuma apa yang diharapkan, mereka mampu mengambil pengajaran ketika berdepan Arsenal dan Liverpool ini dengan baik dan tahu kelemahan masing-masing,” ujarnya.
Rajagobal menambah, apa yang penting ialah pergerakan bola ketika mengatur serangan harus lebih tersusun selain mengharapkan tindakan penyudah lebih berkesan menerusi Safee, Abdul Hadi Yahaya, Ahmad Fakri Saarani, Shahrizal Saad dan Izzaq Faris Ramlan.
kosmo
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...