Sabtu, Ogos 13, 2011

Gerakan Cegah Murtad ditubuh


SHAH ALAM – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinamakan sebagai Gerakan Cegah Murtad (GCM) ditubuhkan bagi menyokong tindakan Jabatan Agama Islam (Jais) memelihara kesucian Islam.

Dianggotai 25 NGO berdaftar, GCM menyokong penuh usaha berterusan Jais menggunakan kuasa yang ada mengikut undang-undang menangani isu murtad.

Jurucakap GCM, Hamidzun Khairuddin berkata, akidah umat Islam adalah lebih penting dan tiada ternilai berbanding dengan politik murahan yang dimainkan sesetengah individu untuk meraih undi hasil daripada berantakan umat Islam dalam isu ini.

Beliau yang juga Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) menggesa pemimpin umat Islam tidak bertelagah sesama sendiri dalam menangani isu murtad yang berleluasa di negeri ini.

“Jais merupakan pihak berwajib di negeri ini yang diberikan kuasa oleh undang- undang negara dan negeri untuk mengawal selia dan melaksanakan Enakmen-enakmen yang berkaitan dengan isu tersebut.

“Pemimpin Islam dalam UMNO, Pas dan PKR perlu melihat isu tersebut merentasi ideologi, agenda dan fahaman politik kerana akidah umat Islam penting berbanding dengan politik murahan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan memorandum sokongan kepada Jais di pejabat jabatan penguat kuasa agama itu.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Ketua Penguat kuasa Jais, Mohd Rais Rasib.
Isu murtad di Selangor menjadi kontroversi apabila Jais menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu selepas mendapat maklumat bahawa terdapat usaha memurtadkan orang Islam yang menghadiri majlis makan malam muhibah di dalam gereja berkenaan.

Menurut Hamidzun, paling dikesali apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tunduk kepada tekanan politik DAP dan mengambil pendekatan menyalahkan Jais dalam isu tersebut.

“Tindakan Jais berlandaskan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perlembagaan di kalangan Orang Islam ) 1988 yang terpakai untuk seluruh umat Islam yang berada di bumi Selangor,” katanya.


SH


KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

1 ulasan:

Sendiri mau ingat...