Imam sebuah masjid di Gelang Patah yang digantung kerja selepas ditahan dalam perhimpunan BERSIH 2.0 kini "berpatah arang dan berkerat rotan" dengan Jabatan Agama Johor (JAJ) yang mengeluarkan arahan itu.
Imam kecewa itu - Hassan Md Said - membayangkan tidak mahu lagi berkhidmat dengan JAJ selepas tamat tempoh penggantungan tiga bulannya pada 2 November depan.
"Saya berdakwah cara lainlah pula. Saya amat kecewa mereka buat cara macam ini dengan saya.
"Saya sudah 14 tahun berkhidmat sebagai imam tetapi macam tidak dihargai. Jabatan agama (JAJ) ini tidak profesional langsung," kata imam bertauliah di Masjid Ladang itu.
Hassan, 40, mendakwa menerima surat makluman penggantungan tiga bulan dari Pengarah JAJ Elias Hasran bermula 2 Ogos kerana "melanggar beberapa arahan" majlis agama negeri, yang dikeluarkan melalui Pejabat Kadi Johor Bahru.
Walaupun tidak disebut secara jelas, Hassan percaya elaun bulanan RM750 yang diterimanya akan dibekukan, sekali gus menyebabkan pesakit "kencing manis serius" itu hilang mata pencarian.
Hassan percaya tindakan itu susulan beliau antara hampir 1,700 orang yang ditangkap polis pada 9 Julai lalu. Beliau menafikan menyertai itu sebaliknya hanya datang menziarahi saudara dan melawat ibu negara.
Dipandang serong penduduk kampung
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hassan menyifatkan tindakan JAJ menggantungnya tanpa alasan jelas sebagai tidak profesional dan tidak berbudi bahasa.
Menurutnya lagi, tindakan jelas itu menyebabnya dipandang serong oleh masyarakat sehingga ada yang menyangkanya terlibat dalam perbuatan jenayah.
"(Kesannya) sekarang orang datang belajar mengaji (dengan saya) pun sudah kurang," katanya bapa kepada empat orang anak - dua darinya berumur setahun dan dua tahun serta masih menyusu botol.
Ditanya keadaan kewangannya sekarang, Hassan berkata beliau dalam keadaan "defisit", tambahan lagi dengan keadaan di mana harga barang semuanya mahal.
"Kami berkeluarga di sini agak daif. Rumah pun tidak ada dan cuma menyewa dekat masjid... Susahlah lepas ini, sewa pun tak lepas," katanya.
Usaha Malaysiakini mendapatkan komen pengarah JAJ setakat ini belum berhasil.
Sementara itu, Harakahdaily melaporkan, Hassan turut disekat dari mendapat surat tauliah sebagai pegawai amil zakat fitrah bagi penduduk Kampung Ladang biarpun lulus ujian saringan.
"Difahamkan, sewaktu beliau ingin mengambil tauliah tersebut pada masa yang telah ditetapkan, pegawai JAJ yang bertugas menyatakan penangguhan pemberian tauliah kepada beliau dan terpapar dalam senarai nama penerima tauliah bahawa namanya telah ditandakan merah," laporan itu dipetik.
MK
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...