Isnin, Ogos 15, 2011
Jawapan SPR macam Pak Pandir
KUALA LUMPUR, 15 Ogos: PAS kesal dengan sikap lepas tangan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof baru-baru ini yang menyatakan “tiada daftar pemilih yang bersih di dunia ini” sebagai jawapan kepada pelbagai kelemahan yang dibongkar oleh PAS dalam daftar pemilih negara.
“Jawapan ini mengingatkan kita kepada kisah Pak Pandir yang menyatakan "bukan anak kita je mati, anak orang lain mati jugak.
"Kenyataan ini jelas menggambarkan sikap sebenar SPR, yang tiada niat langsung untuk memihak kepada rakyat untuk bersungguh-sungguh membersihkan daftar pemilih yang ada,” bidas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini.
Setelah diasak bertubi-tubi dengan pelbagai bukti kelemahan dalam daftar pemilih negara, SPR, yang telah berkeras kepala dalam menafikan kelemahannya selama ini akhirnya terpaksa membuat pusingan U dan mengakui bahawa mereka sedar ada kelemahan dalam daftar pemilih negara.
Namun begitu, pengakuan SPR tidak ikhlas apabila Abdul Aziz sekadar menyalahkan “kesilapan teknikal yang berlaku semasa proses pendataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)” sehingga menyebabkan kelemahan dalam daftar pemilih yang dikendalikan SPR selama ini.
“Dalam daftar pemilih kita ada lebih kurang 12.3 juta pengundi dan sudah tentu akan berlaku kesilapan sana dan sini, seluruh dunia pun ada masalah yang sama ... tiada dunia yang daftar pemilihnya sempurna.
"Janganlah perbesarkan kesilapan ini, semua yang berlaku ini tidak dirancang oleh SPR, SPR bukan sengaja mahu benarkan mereka mengundi dua kali, kadang-kadang akan berlaku kesilapan semasa pendataan (oleh JPN), silap letak dan kami akan semak, kalau tak betul kami akan buang,” jelasnya sebagai reaksi balas kepada bukti-bukti yang dikemukakan PAS dan Pakatan Rakyat mengenai isu warga asing menjadi pengundi, nama pengundi bertindih yang berlambak, bukti pengundi hantu yang terdiri daripada ahli Umno sendiri dan nama pengundi yang tidak wujud di sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam daftar pemilih yang dikeluarkan SPR.
Ketidakikhlasan SPR dalam memperbaiki sistemnya cukup terserlah dalam isu nama Kg Baru (MyKad: 830527115422) yang didaftarkan sebagai pengundi, dimana SPR hanya menukar nama Kg Baru kepada nama pengundi “Noraini binti Abdullah” berdasarkan data JPN tanpa usul periksa mengapa kesilapan demikian boleh berlaku.
“Demikian juga pendedahan warga asing yang mendapat kerakyatan, dan didaftarkan sebagai pengundi dengan jumlah ribuan orang adalah gambaran kelemahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.
"Pengakuan SPR ini jelas kepada rakyat kenapa himpunan Bersih 2.0 diadakan dan kini rakyat mula nampak akan hasil himpunan tersebut,” tegas Tuan Ibrahim, yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Pahang.
Walaupun SPR dan pihak berkuasa yang di bawah telunjuk Umno Barisan Nasional terus menggambarkan perhimpunan Bersih 2.0 dengan nada yang sangat negatif, Tuan Ibrahim berkata dari segi positif perkara ini turut menyebabkan rakyat juga telah mula membuka mata dan dapat melihat betapa kotornya sistem pilihanraya negara kita yang dipenuhi dengan sampah sarap dan diancam oleh pendatang asing yang mendapat kerakyatan dan hak mengundi dengan begitu senang.
“Bayangkanlah, undi warga asing sudah boleh menentukan keputusan politik dan masa depan negara – siapakah yang telah menjual negara secara senyap-senyap demi kekal berkuasa dengan cara yang haram?” soal Tuan Ibrahim.
SPR, katanya perlu melakukan segera satu reformasi bagi membina keyakinan rakyat khususnya parti- parti politik terhadap sistem pilihanraya yang bersih dan adil.
“Dengan keruntuhan keyakinan rakyat jelata terhadap kelayakan SPR menjadi pengadil pilihanraya sekarang inilah yang menuntut satu reformasi dalam sistem pilihanraya kita bagi membina keyakinan tinggi kepada semua pihak supaya keputusan pilihanraya umum nanti dapat diterima dengan hati terbuka dan tanpa was-was.
"Masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki, seperti undi pos yang terdedah kepada pelbagai manipulasi, persempadanan pilihanraya yang tidak adil, pengundian bertindih, tuntutan daftar automatik dan sebagainya,” kata beliau.
HD
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...