Jumaat, Ogos 05, 2011
Pengarang, Wartawan Suara Keadilan Dipanggil Polis
KUALA LUMPUR 4 OGOS : Seorang pengarang dan wartawan Suara Keadilan dipanggil polis hari ini berikutan artikel yang mendedahkan kanister gas pemedih mata yang digunakan polis ketika Himpunan Aman Bersih 9 Julai lalu sama seperti yang digunakan rejim zionis Israel.
Fazallah Pit dan penulis artikel, Ahmad Fadli Mohd Nazari disiasat di bawah seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
Turut dipanggil ialah pengarah Biro Khidmat Guaman PKR, Latheefa Koya.
Mereka tiba ditemani peguam Fadiah Nadwa Fikri dan N Surendran dari Lawyers For Liberty.
Fazallah ketika ditemui selepas soal siasat menyatakan Suara Keadilan menjalankan tanggungjawab kewartawanan dengan baik serta menyelidik terlebih dahulu sumber mereka.
"Suara Keadilan pertahankan apa yang kami tulis. Walaupun kenyataan dari pimpinan parti, kami tetap buat semakan dan bila ada asasnya baru kami keluarkan berita. Malangnya kami pula yang disiasat, hal kanister tersebut tidak disiasat," kata beliau kepada wartawan.
Menurut peguam beliau, Fadiah, siasatan itu dianggap sebagai usaha untuk menakutkan para wartawan khususnya dari media alternatif dari menulis perkara kritis terhadap agensi kerajaan.
"Tiada asas dalam penyiasatan ini melainkan tindakan mengugut wartawan untuk menulis di laman portal atau akhbar," kata beliau kepada wartawan di hadapan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.
Menurut Fadiah lagi, antara soalan yang ditanya Inspektor Yudi Yusoff ialah "tugas sebagai editor, dan adakah artikel itu diedit beliau" yang dianggap tidak relevan dalam penyiasatan.
Latheefa turut mempersoalkan tindakan polis yang menanyakan soalan sebegini.
"Soalan-soalan ini tunjukkan polis tidak menyiasat penuh perkara ini.
"Persoalannya ialah cara penggunaan kanister itu yang boleh sebabkan kematian, itu yang kita persoalkan," tegas Latheefa.
Surendran pula mendakwa bahawa semua ini merupakan tindakan balas kerajaan kepada mereka yang mengkritik dan cubaaan menyembunyikan kebenaran.
"Guna akta jenayah, guna polis dan peguam negara untuk serang mereka yang kritik...ini amat salah dan perlu dihentikan.
"Masalahnya mereka cuba menyembunyikan kebenaran. Dengan guna cara begini mereka ingat rakyat akan senyap," kata Surendran lagi.
tvs
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...