Isnin, September 12, 2011
Isteri tidak boleh curang
KUALA LUMPUR: “Apa juga alasan, sama ada kesunyian, diabaikan suami atau kurang kasih sayang, ia bukan sebab yang membolehkan seseorang wanita itu berlaku curang di belakang suami.
“Namun bila perkara ini terjadi, seorang isteri harus meminta maaf daripada suaminya dan bertaubat bersungguh-sungguh meminta keampunan daripada Allah SWT.
“Jangan pandang mudah perkara ini. Apabila seorang isteri melangkaui batasnya, dia menggadaikan maruahnya, suami dan keluarga. Jadi, wanita yang berbuat sedemikian harus segera bertaubat,” kata Naib Presiden Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia, (JIM) Prof Madya Dr Harlina Haliza Siraj.
Menurut Harlina, menjadi lumrah ada manusia tidak cukup dengan satu pasangan, namun ia bukan faktor mengapa seseorang itu harus berlaku curang terhadap pasangan.
“Lelaki dan perempuan sama saja. Masing-masing tidak puas dengan pasangan mereka, lebih-lebih lagi apabila berlaku masalah rumah tangga.
“Bagaimanapun, jika sesuatu masalah terjadi seperti diabaikan suami dan tidak diberi kasih sayang yang sepatutnya, seseorang wanita atau isteri tidak harus mengambil jalan mudah dengan mencari hiburan di luar.
“Dalam Islam ada pelbagai cara untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga, antaranya mengadakan perbincangan suami isteri dan kaunseling. Malah, kita ada tempat untuk golongan wanita dan isteri yang mengalami masalah,” katanya.
Harlina berkata, pengetahuan dalam bidang agama sangat penting bagi membentuk diri dan keluarga, oleh itu apabila agama diketepikan, masalah sebegini pasti muncul.
“Mengikut sunnah nabi, seorang lelaki harus mencari wanita yang tahu agamanya. Jika tidak, masalah ini antara yang terjadi apabila wanita itu tidak mengetahui batasnya.
“Dalam apa juga perkara, agama harus menjadi pandu arah setiap insan. Jika agama dipandang ringan, kehidupan seseorang itu pasti terkeluar daripada landasan sebenar,” katanya.
HM
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...