Jumaat, September 30, 2011

'Saya tak gentar amaran PERKASA'



Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu berkata beliau tidak gentar dengan amaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Negeri Sembilan yang mahu mengadakan protes sekiranya beliau berceramah lagi di negeri itu.

Sebaliknya, tokoh yang dikenali sebagai 'ayam sabung PAS' itu, akan terus berceramah termasuk di negeri itu sekiranya menerima jemputan.

"Saya tidak rasa apa-apa (dengan amaran itu). Sebenarnya mereka yang gelisah. Saya telah didakwa, (jadi) tunggu mahkamah (buat keputusan).

"Saya akan terus berceramah kalau dapat jemputan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Menurutnya, beliau akan menghadiri satu lagi ceramah di negeri tersebut, yang dijadual pada 6 Oktober ini di DUN Paroi.

Mohamad mengulas kenyataan Yang Dipertua PERKASA negeri itu, Datuk Mohd Noor Nordin Abdullah yang dilapor akan mengetuai protes terhadap Mohamad jika pemimpin PAS itu enggan memohon maaf berhubung kenyataannya mengenai peristiwa Bukit Kepong.

Amaran itu dikeluarkan selepas kekecohan tercetus di ceramah Mat Sabu di Ampangan, Seremban Sabtu lalu sehingga menyebabkan dua penyokong PAS cedera selepas mereka cuba menghalang ahli PERKASA mara ke pentas ceramah.

Mat Sabu mencetuskan kontroversi tersebut ekoran ucapannya pada 21 Ogos lalu yang didakwa memuji Mat Indera, seorang pemimpin yang mengetuai serangan ke atas balai polis Bukit Kepong pada tahun 1950, sebagai pejuang kemerdekaan.

Mengulas mengenai keselamatan yang pada ceramahnya akan datang, Mohamad menyerahkan perkara tersebut kepada polis untuk berbuat demkian termasuk ceramah yang dibuat dalam kawasan persendirian yang tidak memerlukan permit.

Sementara itu, amaran PERKASA tersebut mengundang reaksi balas, khususnya dari pemimpin Pemuda PAS yang mengecam dan menyelar "kenyataan amaran dan ancaman" pemimpin PERKASA itu.

Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Malaysia menganggapnya kenyataan kurang cerdik dan dangkal yang "hanya dilakukan oleh puak-puak yang tidak mempunyai keberanian untuk berhujah secara ilmiah dan beradab."

Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan berkata PERKASA sepatutnya mengadakan protes terhadap akhbar Utusan Malaysia yang didakwanya "memutarbelitkan dan menyalahtafsirkan" kandungan sebenar ucapan Mohamad.

Sehubungan itu, beliau meminta polis melakukan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kenyataan PERKASA yang didakwanya berbaur ancaman dan hasutan untuk mendatangkan kecederaan ke atas Mohamad.

"Kenyataan PERKASA ini juga menunjukkan mereka ini sebenarnya kumpulan 'samseng' yang tidak menghormati undang-undang, tetapi sebaliknya berselindung di atas nama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Mohd Sany juga mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil sebarang langkah yang membelakangkan undang-undang untuk memudaratkan pimpinan PAS.

Sementara itu, ketua penerangan Pemuda PAS pusat, Riduan Mohd Nor juga kesal dengan PERKASA yang didakwanya "sengaja membiarkan ahli dan penyokongnya bertindak liar bagi menghangatkan suasana supaya penyokong PAS bertindak balas" sewaktu kekecohan itu berlaku.

"PAS telah lama bergelumang dalam politik, dan tahu asam garam serta sepak terajang politik tanahair. Ahli-ahli PERKASA tidak perlu mencetuskan provokasi seumpama itu.

"PAS telah lama mentarbiyah ahlinya supaya bersabar dan bertenang dalam situasi seperti ini sebagaimana PAS juga mentarbiyah ahlinya agar berjihad dan tidak gentar kepada sesiapa juga," kata ketua penerangannya Riduan Mohd Nor.

Dengan nada menyindir, Riduan menyifatkan tindakan PERKASA mengganggu dan didakwa memukul penyokong PAS sebagai "tindakan penakut bagi mereka yang tidak mahu mencari kebenaran".

MK

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...