KAPAR: Dua rang undang-undang yang bakal digubal untuk mencegah perbuatan subversif dan keganasan yang akan dibentangkan di Parlimen pada 3 Oktober depan mempunyai persamaan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ini kerana kedua-dua undang-undang baru itu turut menumpukan terhadap usaha mencegah sebarang bentuk keganasan dan ancaman dari memasuki negara ini.
“Ramai ingat ISA ini dimansuhkan, tetapi sebenarnya dua akta baru yang bakal digubal ini juga berkaitan dengan keselamatan dan antikeganasan.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sudah membangkitkan mengenai perkara ini pada awal pemerintahan beliau dua tahun lalu dan ini adalah sebahagian daripada pelan transformasi politik yang ingin dilaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil di Dewan Ahmad Razali, di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Abu Hassan Omar.
Kelmarin, Najib mengumumkan ISA dimansuhkan terus dan memberi jaminan dua undang-undang baru yang akan digubal mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang serta perbuatan jenayah tidak akan digunakan menahan mana-mana individu semata-mata kerana ideologi politik.
Perdana Menteri turut mengumumkan pemansuhan Akta Buang Negeri 1956, selain mengkaji semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967 bagi memenuhi kehendak semasa. Hishammuddin berkata, beliau turut kecewa kerana isu pemansuhan ISA sengaja diputar belit dan dipolitikkan oleh pembangkang.
Sementara itu Noh berkata, tujuan ISA dikekalkan sebelum ini semata-mata untuk mencegah keganasan dan menjaga ketenteraman negara.
KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...