Sabtu, April 28, 2012

Wartakan Dataran Merdeka untuk program BN sahaja


KUALA LUMPUR, 27 April: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa kesal dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memagar Dataran Merdeka mulai hari ini.

Bagi DPPM, kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar), tindakan DBKL seperti menghina rakyat Malaysia dan menafikan hak rakyat untuk berhimpun bagi menyatakan suara hati mereka.

“DPPM merasa kecewa kerana DBKL dan kerajaan Malaysia tidak menghormati rakyat di negara ini.

“Meskipun Dataran Merdeka dikawal selia oleh DBKL, namun ia adalah kawasan umum yang semua rakyat boleh mengunjunginya,” katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, Dataran Merdeka juga dianggap salah satu lokasi pelancongan penting kepada pelancong asing yang datang ke Kuala Lumpur.

Menurutnya lagi, boleh dikatakan tidak sah pelancongan di Malaysia jika tidak mengunjungi Dataran Merdeka, kawasan yang penuh bersejarah itu.

“Jika pelancong asing dibenarkan mengunjungi Dataran Merdeka pada bila-bila masa pun, dan jika konsert yang membawa masuk artis luar negara diadakan di kawasan itu dibenarkan, mengapa pula rakyat sendiri tidak dibenarkan mengunjunginya?” ujarnya.

Lebih dari itu, katanya banyak aktiviti yang diadakan saban tahun seperti Konsert Sambutan Tahun Baru, Sambutan Kemerdekaan, dan lain-lain lagi yang menjurus kepada perlakuan maksiat dan pergaulan bebas lelaki dan perempuan dibenarkan.

“Apakah alasan pula bagi menghalang aktiviti yang memupuk rakyat cintakan negara dan bencikan penyelewengan oleh pemimpin-pemimpin negara,” soal beliau lagi.

Beliau berkata, rakyat merasa terkilan kerana kerajaan menganggap rakyat sebagai golongan merbahaya yang perlu ditentang habis-habisan.

“Nampaknya beginilah layanan kerajaan BN terhadap rakyatnya sendiri seumpama anak tiri yang terbuang,” katanya.

Beliau menambah, segala aktiviti yang melibatkan rakyat dan kepentingan mereka akan ditolak ke tepi, tetapi jika ianya adalah program maksiat yang menguntungkan kerajaan BN berjuta ringgit, ianya akan dilayan dengan layanan kelas pertama.

“Bayangkan, apakah pembelaan yang akan rakyat terima jika BN terus memerintah dengan mandat yang lebih besar pasca PRU13 nanti,” ujarnya.

Justeru, kata beliau DPPM mensarankan kepada DBKL supaya Dataran Merdeka ditutup kepada awam buat selama-lamanya.

“Wartakan kepada rakyat, bahawa Dataran Merdeka hanya untuk aktiviti kerajaan BN sahaja serta hanya untuk pelancong asing.

“Untuk rakyat, tempat mereka hanya di kampung-kampung atau di kawasan terpencil luar bandaraya Kuala Lumpur yang jauh daripada pembangunan kerana itu sahaja tempat yang layak buat mereka,” ujarnya.


HD



KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...