Selasa, Mei 29, 2012
BERANI KE MB PERLIS BERDEBAT?
DEBAT ‘PERLIS MAJU 2015: REALITI ATAU FANTASI’ ANJURAN AMK PERLIS.
Pada tahun 2005, Kerajaan Negeri Perlis telah membuat pengumuman rasmi untuk menjadikan Perlis sebagai sebuah negeri maju menjelang Wawasan 2020.
Gagasan yang dinamakan sebagai ‘Perlis Maju 2015’ itu mensasarkan tahun 2015 di mana Perlis akan mencapai tahap negeri maju sepenuhnya.
Namun, sehingga kini, setelah hampir 7 tahun pengumuman itu dibuat, Angkatan Muda Keadilan Perlis mendapati bahawa tidak ada sebarang perkembangan signifikan yang dapat dibanggakan oleh rakyat Perlis.
Bahkan maklumat berkenaan dasar dan pencapaian petunjuk-petunjuk penting ke arah merealisasikan Perlis Maju 2015 tidak diketahui oleh rakyat Perlis. Rakyat hanya dapat melihat beberapa publisiti di laman web rasmi Kerajaan Negeri Perlis dan papan-papan iklan di sekitar Kangar.
Sehubungan dengan itu, Angkatan Muda Keadilan Perlis berpendapat bahawa satu debat ilmiah wajar diadakan secara terbuka dan berlangsung dengan sihat.
Debat ini akan memberi ruang yang luas kepada rakyat Perlis untuk menilai secara rasional polisi dan program ‘Perlis Maju 2015’ yang dirangka kerajaan negeri Perlis untuk mereka.
Justeru, Angkatan Muda Keadilan Perlis menawarkan kesediaan untuk menjadi penganjur kepada debat ini di antara Menteri Besar Perlis YAB Dato’ Seri Dr Md Isa Sabu dan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Perlis saudara Mohammad Faisol Abd Rahman. Tajuk yang kami cadangkan: “Perlis Maju 2015: Realiti atau Fantasi”.
Kami akan menghantar undangan rasmi kepada YAB Menteri Besar Perlis dan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Perlis pada hari Jumaat, 31 Mei 2012.
Kami berharap agar kedua-dua orang pemimpin ini bersedia untuk menerima undangan daripada pihak kami. Semoga debat ini akan berlangsung dengan baik demi mendatangkan manfaat kepada rakyat Perlis secara keseluruhannya.
Sekian, terima kasih.
Ammar bin Gazali
Ketua Angkatan Muda Keadilan Perlis
fb
KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...