Rabu, Mei 16, 2012
Pak Samad : “Jangan Hiraukan Kenyataan Menteri Dalam Negeri”
SHAH ALAM, 14 MEI: Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bahawa terdapat unsur semasa perhimpunan BERSIH 3.0 yang mahu menyebabkan kematian tidak perlu diambil perhatian.
Demikian menurut Pengerusi Bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0) Datuk A. Samad Said ketika dihubungi TVS petang ini.
Menurut beliau kenyataan tersebut boleh dianggap sebagai andaian kerajaan pusat untuk memberikan gambaran negatif terhadap BERSIH 3.0.
“Untuk saya, itu andaian mereka. Itukan sesuatu yang kita tidak tahu hasrat orang jadi kita cuma boleh buat andaian sahajalah dan kita boleh buat tohmahan untuk menyebelahi kita.
“Saya sendiri fikir, itu tidak payah diambil berat. Benda semacam itu akan bertingkat-tingkat dan berkembang-kembang.
“Memang tak perlu dilayan, sebab mantan IGP (Ketua Polis Negara) sudah kata, mantan Perdana Menteri sudah kata, ini pula Menteri Dalam Negeri pun sudah kata dan nanti akan banyak lagilah yang akan berkata,” kata Samad yang lebih dikenali Pak Samad.
Menurut Sasterawan Negara itu lagi, pihak berkuasa sepatutnya menubuhkan sebuah jawatankuasa yang mampu menjalankan siasatan lebih adil.
“Apa yang harus berlaku adalah seperti yang disarankan mengadakan suatu pemeriksaan yang lebih rasmi, yang lebih adil barangkali untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa yang khusus daripada membiarkan hal ini agak merayau dan berselerak,” ujar beliau.
Samad turut memberitahu jawatankuasa BERSIH 3.0 pada masa ini masih belum membincangkan samada akan mengadakan satu lagi perhimpunan BERSIH atau BERSIH 4.0.
“Itu masih dalam khayalan lagi, sebab masih jauh lagi, tetapi ada orang yang menginginkannya, itu biasalah.
“Kami akan adakan mesyuarat untuk bincangkannya nanti, saya tak dapat beritahu sekarang, nanti kalau ia berlaku saya akan maklumkan,” kata beliau.
Samad memberitahu lagi, BERSIH 3.0 bukanlah mengejar jumlah penyertaan yang besar semata-mata tetapi mahukan mesej perhimpunan dapat disampaikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.
selangorku
KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sendiri mau ingat...