Khamis, Jun 14, 2012

Lebuhraya Kelantan bakal buat Umno sakit jiwa



Apabila Kelantan mengistiharkan bahawa kerajaan negeri Kelantan akan membina sendiri lebuh raya yang akan menghubungkan Kota Bahru dan Kuala Krai maka pelbagai reaksi ditunjukkan oleh pelbagai pihak terhadap cita-cita besar tersebut.

Lebuh raya yang bakal menelan belanja sehingga mencecah lebih daripada RM 1 billion itu dilihat sebagai usaha PAS di Kelantan untuk meraih simpati pengundi-pengundi di negeri Serambi Mekah itu terus mengekalkan PAS sebagai pemerintah.

Lebuh raya sepanjang 77 km itu yang bakal beroperasi tanpa tol nanti diperlekeh oleh kepimpinan Umno khususnya di Kelantan kerana bersangka buruk bahawa lebuh raya tersebut diwar-warkan oleh PAS untuk meraih sokongan daripada pengundi.

Bagi saya, itu adalah tanggungjawab pemerintah untuk memberikan yang terbaik kepada rakyatnya. Lagipun, lebuh raya tersebut sepatutnya telah lama dibina di lokasi tersebut tetapi disebabkan hati busuk kepimpinan Umno telah dengan sengaja melewatkan projek yang bermanfaat kepada rakyat.

Projek lebuhraya Kota Bharu - Kuala Krai di negeri Kelantan telah diluluskan semenjak Rancangan Malaysia Ke-6 (1986-1990) dan sekali lagi diluluskan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan tetapi sehingga ke hari ini masih belum dilaksanakan.

Bermakna, kerajaan Pusat telah pun menyedari bahawa lebuh raya tersebut sangat penting untuk rakyat di Kelantan, justeru mengapa ditangguhkan sejak sekian lama? Saya berani untuk menyatakan di sini bahawa ia berlaku kerana berdasarkan kepentingan politik Umno.

Sebab itu, tidaklah menjadi satu kehairanan mengapa kerajaan Kelantan diperlekeh dalam usaha yang murni ini.

Saya tertunggu-tunggu jika ada menteri yang akan membuat kenyataan bahawa kerajaan Pusat sebenarnya 'sekadar menguji' kerajaan Kelantan sama ada mampu untuk membina lebuh raya sendiri atau tidak seperti mana Menteri Pengajian Tinggi membuat kenyataan yang sama apabila pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel ditangguhkan sebelum daripada ini.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed percaya bahawa cita-cita tersebut tidak mungkin dapat tercapai mengikut realiti semasa dan percaya bahawa ia adalah gimik politik semata-mata kerana beliau tidak percaya bahawa dengan hanya bergantung kepada dana yang dikutip daripada rakyat walaupun tempoh berpuluh tahun lagi pun tidak akan tercapai hasrat tersebut.

Begitu juga dengan kenyataan daripada Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Noorzahidi Omar yang menganggap bahawa projek lebuh raya rakyat ini akan menjadi satu lagi projek yang bakal disenaraikan sebagai projek gagal. Projek yang mengharapkan wang ikhsan derma rakyat ini ibarat satu lagi harapan palsu kepada rakyat di negeri itu. Beliau juga percaya bahawa ia adalah projek gimik pilihan raya semata.

Saya yakin kepimpinan PAS Kelantan akan dapat menutup mulut semua pengkritik-pengkritik itu. Sya juga berharap agar kepimpinan Kerajaan Kelantan dapat turun ke setiap negeri untuk merealisasikan harapan ini. Pimpinan PAS kawasan-kawasan juga perlu mengambil inisiatif tersendiri dan mengikut kekreatifan masing-masing.

Mudah-mudah Allah memberikan kekuatan kepada kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan TG Nik Abdul Aziz bin Nik Mat untuk menunaikan impian dan harapan rakyat menerusi pembinaan lebuhraya ini.

*Oleh Duratul Adani


utaranews


KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sendiri mau ingat...